Agong Sempurnakan Kuantan Sebagai Bandaraya

DYMM AGONG Berangkat Ke Majlis Pengisytiharan Bandaraya Kuantan

 

KENYATAAN MEDIA  MENTERI BESAR PAHANG

Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan Ahad ini.

Sukacita dimaklumkan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah perkenan berangkat bercemar duli, bagi menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan pada Ahad, 21 Februari.

Keberangkatan Baginda akan diiringi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, akan berangkat sama.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan hadir ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin juga akan hadir.

Majlis Pemasyhuran ini akan dilaksanakan menurut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat demi membendung wabak pandemik COVID-19. Oleh sebab itu, jumlah jemputan khususnya, dihadkan bagi memastikan pelaksanaan aspek penjarakan fizikal.

Sukacita juga saya katakan, Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan ini diadakan susulan kelulusan diberi oleh Kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019.

Pemilihan tarikh 21 Februari ini ialah setelah beberapa kali ditunda ekoran pelbagai faktor termasuk situasi COVID-19.

Kali terakhir majlis seumpama ini ialah pada 1 September 1979 atau lebih 40 tahun lepas, sempena kenaikan taraf Kuantan daripada sebuah Bandar kepada Perbandaran.

Sehubungan itu, saya berharap penduduk Kuantan dan Pahang amnya, dapat sama-sama berbangga dengan hari bersejarah sempena Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan ini sungguhpun diadakan dalam skala sederhana.

DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
19 Februari 2021

 

Leave a Reply