EU kemuka strategi baharu multilateralisme
18/02/2021 08:31 PM
KUALA LUMPUR, 18 Feb — Suruhanjaya Eropah pada Rabu mengemukakan strategi baharu untuk memperkukuh sumbangan Kesatuan Eropah (EU) terhadap multilateralisme yang berasaskan peraturan.
Ia turut menetapkan harapan dan cita-cita EU untuk sistem multilateral, termasuk melalui sokongan politik, diplomatik dan kewangannya bagi menggalakkan keamanan dan keselamatan global, mempertahankan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, serta penyelesaian multilateral untuk cabaran global.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama oleh Delegasi EU ke Malaysia, Suruhanjaya Eropah menyatakan cabaran abad ke-21 menuntut lebih banyak tadbir urus multilateral dan kerjasama antarabangsa berasaskan peraturan.
“EU telah menetapkan keutamaan strategik yang jelas mengenai isu-isu yang tidak dapat diuruskan sendiri oleh mana-mana negara iaitu perdamaian dan keamanan, hak asasi manusia dan peraturan undang-undang, pembangunan mampan, kesihatan masyarakat, atau iklim.
“Kini, ia perlu memajukan keutamaan ini secara multilateral menerusi pendekatan strategik untuk memastikan dunia yang lebih selamat dan berkesinambungan serta pemulihan global yang menyeluruh.
“Oleh itu, EU akan memajukan kaedah penyelarasan yang lebih cekap dalam perkongsian keutamaan dan memanfaatkan kekuatan kolektifnya dengan lebih baik, termasuk membangun pendekatan ‘Team Europe’,” tambah kenyataan itu.
Wakil Kanan Kesatuan untuk Dasar Luar Negeri dan Keselamatan/Naib Presiden untuk Stronger Europe in the World, Josep Borrell, berkata: “Multilateralisme penting kerana ia berkesan. Tetapi kita tidak boleh menjadi ‘multilateralis’ secara bersendirian.
“Ketika keraguan semakin meningkat, kami harus menunjukkan manfaat dan relevannya sistem multilateral. Kami akan membina perkongsian lebih kuat, pelbagai dan inklusif untuk memimpin pemodenannya dan membentuk tindak balas global terhadap cabaran abad ke-21,yang antaranya mengancam kewujudan umat manusia.”
Sementara itu, Pesuruhjaya untuk Perkongsian Antarabangsa, Jutta Urpilainen, berkata strategi baharu itu menunjukkan cita-cita EU mengenai multilateralisme secara menyeluruh, komitmen untuk memperbaharuinya dan disokong tindakan khusus.
Menurut kenyataan itu, EU akan terus menyokong usaha reformasi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menggalakkan pemodenan institusi penting seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia.
Ini juga akan memimpin pembangunan global norma baharu dan penubuhan platform kerjasama dalam bidang seperti percukaian, digital atau Kepintaran Buatan (AI).
Dalam usaha mempromosi Eropah yang lebih kuat, EU juga akan membina pakatan baharu dengan negara-negara ketiga, memperkasa kerjasama dengan pertubuhan multilateral dan serantau, serta pihak berkepentingan lain, terutama yang mempunyai nilai demokratik.