Mohd Amri Yahyah antara tiga pemain sertai Sabah FC

Mohd Amri Yahyah (Gambar fail)

18/02/2021 10:57 PM

KOTA KINABALU, 18 Feb — Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) mengesahkan tiga pemain bakal menyertai kelab di bawah naungannya iaitu Kelab Bola Sepak Sabah (Sabah FC) bagi mengharungi Liga Malaysia musim ini.

Sabah FA menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya malam ini memaklumkan mereka ialah pemain kebangsaan Indonesia Saddil Ramdani, bekas pemain kebangsaan Malaysia berpengalaman Mohd Amri Yahyah dan bekas pemain bawah 23 Malaysia N.Thanabalan.

Kenyataan itu menyebut Saddil, 22, seorang pemain sayap menyertai skuad The Rhinos daripada Bhayangkara Solo FC di Indonesia pada musim lepas dan pernah bermain untuk pasukan Pahang pada saingan liga negara ini musim 2019.

Saddil, yang telah memperoleh sembilan caps ketika dengan skuad kebangsaan Indonesia, dalam kenyataan sama menegaskan fokus beliau ketika ini ialah untuk memajukan diri bersama Sabah FC dan menjaga keluarganya.

Kenyataan itu juga menyebut nama Mohd Amri, seorang pemain yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak Malaysia serta pernah bermain untuk beberapa pasukan iaitu Selangor, Johor Darul Ta’zim, Melaka United dan Sarawak United.

Katanya penyertaan penyerang berpengalaman seperti Mohd Amri, yang memiliki 64 caps dan menjaringkan 13 gol buat pasukan kebangsaan Malaysia, membolehkan Sabah FC menerapkan serangan serta corak permainan lebih tersusun pada saingan Liga Super musim ini.

“Usia yang telah mencecah 40 tahun hanyalah angka buat beliau, (Stadium) Likas pula bukanlah asing buat beliau. Untuk rekod, kali terakhir Amri Yahyah beraksi di Likas ialah ketika Selangor tewas 2-1 di tangan Sabah dalam kancah Piala Malaysia 2018,” menurut kenyataan Sabah FA itu.

Thanabalan, 26, pula adalah seorang lagi pemain sayap yang cukup dikenali dengan prestasi mantap beliau ketika bersama skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan Malaysia sepanjang 2015 hingga 2018.

Beliau sebelum ini pernah menabur bakti bersama pasukan kelahirannya Negeri Sembilan sebelum menyertai Kedah dan beraksi bersama Perak II pada musim lepas.

“Semoga dengan kehadiran Thanabalan akan memberikan lebih banyak pilihan buat (Ketua Jurulatih) Kurniawan Dwi Yulianto di bahagian sayap Sabah FC di samping boleh bertindak sebagai pemain tengah menyerang,” menurut kenyataan itu.

Harmony, unity among Malaysians intact due to Rukun Negara

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker