Pengedar dadah tukar taktik, guna khidmat kurier ketika PKP


Datuk Razarudin Husain

18/02/2021 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Sindiket pengedaran dadah dikesan beralih menggunakan perkhidmatan kurier bagi meneruskan kegiatan mereka ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), sejak tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata penggunaan taktik itu menunjukkan peningkatan ketara dengan pengedar menyembunyikan dadah di dalam barangan penting dan barangan keperluan asas.

“Sepanjang tahun lepas, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier membabitkan 84 kes dan membuat 103 tangkapan manakala bagi tahun ini ia membabitkan lima kes dan empat tangkapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata selain menggunakan perkhidmatan kurier, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan e-hailing, membabitkan 29 kes dan 39 tangkapan di seluruh negara, dalam tempoh sama pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.

“Pengedar didapati menggunakan perkhidmatan penghantaran e-hailing untuk membuat penghantaran dadah dengan menyembunyikannya di dalam bungkusan makanan atau barang yang dihantar bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata cara lain yang digunakan pengedar dadah ialah dengan menggunakan pengangkutan penghantaran barangan penting dan barangan keperluan asas kerana hanya lori tertentu dibenarkan membuat pergerakan merentas daerah dan negeri.

“Sindiket pengedar dadah juga dikesan menganjurkan parti haram di kondo-kondo mewah kerana pusat hiburan masih tidak lagi dibenarkan beroperasi selain turut melakukan penjualan secara dalam talian termasuk menerusi website e-dagang popular, di mana penjualan dan pembelian berlaku secara terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata PDRM merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM168.26 juta di seluruh negara sepanjang Januari tahun ini.

Katanya, dadah yang dirampas ialah sebanyak 27,623.47 kilogram dan juga 4,955.61 liter cecair dadah, dengan rampasan tertinggi membabitkan dadah jenis erimin 5, ganja dan syabu.

“Dalam tempoh itu juga seramai 9,323 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan 28 daripadanya adalah penjawat awam.

“Sebanyak 22 sindiket juga berjaya ditumpaskan, dan tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana JSJN berjaya menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM26.1 juta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, polis menahan empat warga India di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini pada Selasa lepas dan merampas dadah bernilai RM27,672.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Adnan Azizon berkata kesemua yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 23 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta Honda City dinaiki suspek, polis merampas dadah disyaki ganja seberat 5,022 gram dan wang tunai RM450.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek lelaki positif dadah jenis THC manakala suspek wanita negatif dadah. Seorang suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam manakala dua lagi suspek direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya hasil siasatan mendapati kesemua suspek bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lepas.

Pengedar dadah jadikan alasan sukar peroleh bekalan untuk jual berlipat ganda

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker