Pengendali pasukan Liga-M ‘tidak sabar’ tunggu aksi persahabatan

18/02/2021 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Pengendali pasukan Liga Malaysia (Liga-M) ‘tidak sabar’ menantikan aksi perlawanan persahabatan untuk menilai kemampuan anak buah masing-masing sebelum sepak mula musim ini, dijadual bermula 5 Mac depan.

Aksi persahabatan dilihat menjadi elemen penting kepada persiapan pasukan kerana mereka dilihat masih berada dalam fasa mencari keserasian dan mendapatkan kembali tahap kecergasan dalam perlawanan.

Ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel mengakui melalui aksi persahabatan, beberapa kriteria dapat dikenal pasti seperti tahap kecergasan, prestasi dan keserasian terbaik terutamanya dengan kehadiran pemain baharu dalam pasukan, selain masa persediaan yang singkat.

“Selepas lama tidak berlatih, saya kagum dengan semua pemain yang mempamerkan semangat juang tinggi dalam latihan walaupun kami hanya baru mula berlatih Isnin lepas.

“Kebiasaannya apabila pramusim, kami akan lalui banyak sesi latihan untuk mempersiapkan pasukan, tetapi sekarang kami perlu melakukan beberapa perubahan sesuai dengan situasi semasa dan untuk itu kami sudah merancang beberapa perlawanan persahabatan,” katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Selangor FC dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bercadang mengadakan tiga perlawanan persahabatan sebelum perlawanan pertama liga manakala bagi PDRM FC pula, aksi persahabatan pasukan itu telah diluluskan dan dijadual pada Sabtu ini.

Sementara itu, pengendali Petaling Jaya (PJ) City FC P. Maniam berkata anak buahnya masih belum mendapat kecergasan diinginkan dalam latihan yang telah bermula Isnin lepas namun percaya dapat diperbaiki selepas dua atau tiga perlawanan persahabatan.

“Hari pertama latihan, saya lihat komitmen semua pemain cukup tinggi untuk memberikan 100 peratus di atas padang, dan pada hari kedua dan seterusnya, kita boleh nampak mereka agak keletihan selepas 20 hingga 30 minit latihan.

“Tetapi, pemain tetap mempamerkan kesungguhan dan saya tidak menolak dari segi kecergasan masih lagi bukan pada tahap kita inginkan, dan sebab itu pentingnya perlawanan persahabatan selepas ini,” katanya.

Leave a Reply