Polis tahan dua lelaki disyaki curi arus elektrik lombong bitcoin

18/02/2021 03:39 PM

TAIPING, 18 Feb — Kegiatan mencuri arus elektrik bagi melombong mata wang kripto bitcoin di dua premis di Kamunting di sini mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian sebanyak RM600,000 dalam tempoh tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata kegiatan sindiket itu terbongkar setelah pihak polis dengan kerjasama TNB menyerbu dua premis terbabit dan menahan dua suspek lelaki dalam Op Bersepadu Bitcoin pada kira-kira 11.45 pagi semalam.



Beliau berkata susulan penahanan kedua-dua suspek berusia 19 hingga 34 tahun itu, pihaknya merampas pelbagai barangan dan peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri arus elektrik TNB tanpa sambungan bacaan meter untuk tujuan melombong bitcoin.

“Antara barangan yang dirampas termasuklah 287 mesin bitcoin bersama penjana kuasa, empat unit suis utama elektrik, dua unit skrin monitor, CPU, router modem wifi dan kabel elektrik.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek telah menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu dan pihak TNB mendakwa mengalami kerugian sekitar RM200,000 sebulan akibat kegiatan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kebajikan ke rumah bekas Pegawai Polis Wanita Zaman British, (Inspektor Badge 1956) Siti Hawa Mohd Yusuf, 85, di Larut Tin di sini, hari ini.

Osman berkata modus operandi suspek adalah menyewa premis yang sunyi dan jauh dari kawasan penempatan penduduk serta mengubah suai rekaan dalaman premis untuk sistem pengudaraan dan menyambung arus elektrik TNB tanpa bacaan meter bagi tujuan melombong bitcoin.



Katanya kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan.

Kes pelaburan bitcoin: Tujuh termasuk warga China ditahan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button