Rasuah projek pembinaan: Pengerusi syarikat direman tiga hari


Seorang pengerusi syarikat pembinaan berusia 67 tahun direman selama tiga hari kerana disyaki terlibat dalam pemberian rasuah bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM110 juta daripada sebuah kementerian pada 2012.

18/02/2021 03:14 PM

PUTRAJAYA, 18 Feb — Seorang pengerusi sebuah syarikat pembinaan direman selama tiga hari kerana disyaki terlibat dalam pemberian rasuah bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM110 juta daripada sebuah kementerian pada tahun 2012.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 67 tahun itu bermula hari ini hingga 20 Feb selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat dibawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kes berlainan, seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan seorang pengarah syarikat direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 23 Feb kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang melaksanakan projek pengubahsuaian rangkaian restoran terkenal di Malaysia.

Menurut sumber SPRM, CEO berkenaan merupakan seorang lelaki warganegara Hong Kong berusia 60 tahun yang mempunyai taraf pemastautin tetap Singapura, manakala pengarah syarikat adalah wanita tempatan berusia 37 tahun.

Katanya dalam proses melantik kontraktor-kontraktor bagi projek mengubahsuai enam restoran di beberapa negeri, CEO tersebut dikatakan mengarahkan setiap kontraktor memberikan komisyen sebanyak 15 peratus daripada harga kontrak.

Menurut sumber itu, semua pembayaran rasuah kemudian dimasukkan ke dalam akaun syarikat lain milik pengarah syarikat berkenaan.

Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Rasuah : SPRM tahan timbalan pengerusi negeri sebuah parti politik

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker