TERPAKSA HENTIKAN RAWATAN SKOLIOSIS – PENDAPATAN TERJEJAS, ZAMANI AKUI MOHON B40

Hebahkan !!!

“Buat masa ini saya berhenti dulu. Namun, kalau rasa sakit sangat saya buat urutan sendiri seperti yang diajarkan. Hidup memang ada fasa-fasanya dan kita kena lalui apa yang berlaku sekarang,” demikianlah kata penyanyi Zamani, 50, yang terpaksa menghentikan rawatan penyakit skoliosis atau tulang belakang melengkung buat sementara berikutan kos rawatan yang tinggi.

Zamani yang pendapatannya turut terjejas berikutan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu berkata, untuk beberapa sesi rawatan mengurut dia perlu mengeluarkan kos di antara RM300 hingga RM400.

Penyanyi kumpulan Slam ini mengakui kehidupannya agak terkesan dan hanya berbelanja untuk perkara yang perlu saja. Zamani tanpa berselindung turut mengakui membuat permohonan bantuan untuk golongan B40 seperti yang ditawarkan kerajaan.

“Apa nak dimalukan kerana artis juga perlukan pendapatan. Pada saya tiada salahnya perkara ini. Tidak ada apa yang hendak dimalukan kerana semua orang terkesan sekarang. Semata-mata nak elak malu, tapi hidup susah pun tak guna juga.

“Apapun, terpulang kepada cara masing-masing dan saya tak malu untuk mengakui perkara ini. Lagipun saya dah pernah rasa susah dulu,” ujarnya.

Zamani juga memberitahu, dia turut merancang memohon menyertai Program Hiburan Dari Rumah (HDR) dengan bayaran sebanyak RM5,000 menerusi Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).

“Dah ada peluang pasti saya tak nak ketinggalan untuk ambil. Kita pun tak boleh buat apa-apa dan ini peluang untuk cari pendapatan. Rasanya benda ini bagus untuk golongan penyanyi dan pemuzik,” tuturnya.

 

Image_2.jpg

Zamani berkata, dalam masa sama tidak berpeluk tubuh mengharapkan bantuan semata-mata kerana tetap berusaha mencari rezeki untuk keluarganya. Pada 26 Februari ini dia akan beraksi di konsert virtual anjuran Boss Production Pte Ltd dari Singapura.

“Selain itu, saya juga keluarkan syampu jenama Salju yang dipasarkan menerusi platform ilike_global dan akan turut dijual di Shopee selepas ini.

“Ini termasuk buku Hitam Putih Sebuah Autobiografi yang mengisahkan kehidupan saya juga dikeluarkan dan dijual menerusi platform kru2u.originals,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua projek ini dihasilkan oleh KRU dan buku berharga RM39.90 itu dicetak sebanyak 300 naskhah untuk edisi pertama. Dia juga bersyukur kerana setakat ini buku itu menerima sambutan menggalakkan.

“Sekarang kami dalam proses menerbitkan audio untuk bacaan buku ini. Mereka yang malas membaca atau tiada masa untuk membaca boleh mendengarnya dalam format itu pula.

“Saya buat semua ini tapi hasilnya belum nampak. Ketika PKP saya kena buat pelbagai kerja. Kalau ada rezeki Allah nak bagi, jadilah. Kalau tidak, kita hanya perlu mencuba dan selebihnya serahkan kepada Allah,” jelasnya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: