Warga emas ditahan ugut bunuh polis berang ditegur langgar SOP


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

18/02/2021 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Mengugut untuk membunuh polis, itulah perbuatan seorang warga emas yang berang selepas ditegur polis kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di sebuah restoran di Taman Sri Manja, Petaling Jaya, di sini, semalam.

Suspek lelaki warga tempatan berumur 62 tahun itu dilihat berkumpul bersama dua lagi pelanggan di sebuah meja di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihaknya terlebih dahulu bertindak mendekati kesemua mereka untuk memberi teguran sebelum dua daripada mereka melarikan diri.

“Akibat teguran itu, suspek enggan bekerjasama dan bertindak agresif dengan menendang dan mengugut salah seorang anggota polis yang membuat teguran kepadanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata pihaknya terus menahan suspek yang turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis semasa berada di balai polis Petaling Jaya.

Beliau berkata semakan dibuat ke atas suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau malah dia direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh semasa berada di balai polis,” katanya.

Nik Ezanee berkata suspek turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana ingkar arahan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan.

Leave a Reply