Buruh mengaku cedera, cabul wanita Vietnam di pasar malam

19/02/2021 05:22 PM

RAUB, 19 Feb — Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu mencederakan dan mencabul seorang wanita warga Vietnam di pasar malam Bukit Tinggi, Bentong, kira-kira 65 kilometer dari sini, Selasa lepas.

R.Ganapathi, 33, dari Taman Seri Bukit Tinggi, Bentong membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 8 Mac sebagai tarikh jatuh hukum di Mahkamah Majistret di Bentong.Bagi kesalahan mencederakan, Ganapathi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 33 tahun pada 6 petang 16 Feb lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.



Bagi kesalahan mencabul, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, seorang suri rumah, di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Chan Kai Ling menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan namun Ganapathi, yang tidak diwakili peguam, merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan dia hanya berpendapatan RM30 sehari, mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan isteri hanya pekerja kontrak pembersihan dengan gaji RM1,200 sebulan.

Shahrul Ekhsan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Buruh ditahan sembunyi senapang buatan sendiri

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker