Kucing idam timun, tolak ikan
Kuala Terengganu: Lazimnya kucing menggemari ikan, tetapi berlainan dengan kucing kesayangan Mowgli Malaysia, Muhammad Syukur Khamis, 15, yang suka makan timun.
Bukan satu atau dua batang sehari, tetapi lebih empat batang sehari dua ekor kucing yang dipanggil Renek dan bulat itu makan sayur berkenaan.
Muhammad Syukur berkata, dua kucingnya itu mula memakan timun sejak kecil dan lebih memilih timun berbanding makanan lain termasuk ikan.
“Renek dan Bulat lebih teruja dan berselera untuk makan timun berbanding ikan dan makanan kucing yang disediakan.
“Jika ada timun di atas meja makan, Renek dan Bulat akan melarikan timun itu berbanding ikan goreng yang terhidang atas meja,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Tambahnya, dia mempunyai 10 ekor kucing, tetapi hanya dua ekor kucing yang menggemari timun itu.
“Saya sendiri berasa pelik dengan keletah Renek dan Bulat, tidak pasti kenapa dua kucing itu sangat menggemari timun.
“Sebelum inim saya memberi kucing peliharaan makan makanan kucing dan ikan saja.
“Saya cuba saja bagi timun sebelum ini dan dua ekor kucing itu makan dan sejak itu memang kami memberikan timun untuknya pada setiap hari,” katanya.
Menurutnya, Renek dan Bulat bukan saja makan timun, tetapi turut menggemari durian dan rambutan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
‘Sudin Chepo’ latih lebih 100 ekor beruk petik kelapa guna lima teknik kemahiran