Malaysia kekal rakan dagang penting Denmark – Duta

19/02/2021 03:10 PM

KUALA LUMPUR,19 Feb — Malaysia akan terus menjadi rakan dagang penting Denmark di rantau ini dan bekerjasama untuk mempelbagaikan lagi hubungan perniagaan pada masa depan.

Duta Denmark ke Malaysia, Kirsten Geelan berkata penjagaan kesihatan antara sektor berpotensi.

“Sistem kesihatan juga menawarkan potensi besar untuk kerjasama dengan Malaysia di masa depan,” katanya dalam webinar bertajuk ‘Denmark and EU (European Union)’ from here’, Rabu.

Program ‘The Ambassador Lecture Series’ itu anjuran Institut Asia-Eropah Universiti Malaya.

Menurutnya kini terdapat lebih 50 syarikat Denmark di Malaysia, merangkumi industri makanan dan pengangkutan hingga teknologi maklumat, tenaga, pembuatan serta penyelesaian teknologi hijau.

Antara syarikat itu ialah Arla, Sunquick, Maersk, DSV Rockwool, Novo Nordisk, Novozymes, AVK, United Plantations Berhad, Dong Energy dan Uhrenholt.

“Kebanyakannya memiliki ibu pejabat wilayah mereka di sini kerana lokasi Malaysia yang strategik, persekitaran perniagaan yang kondusif, dan kepelbagaiannya,” katanya.

Menurut Geelan, eksport Denmark ke Malaysia 2019 masing-masing berjumlah RM1.1 bilion untuk barangan dan perkhidmatan, sementara eksport barangan Malaysia ke Denmark bernilai RM1 bilion dan perkhidmatan RM1.2 bilion pada tahun sama.

Duta yang memulakan tugasnya di sini pada September 2020, berkata tiada kesan langsung terhadap operasi perniagaan Denmark di Malaysia akibat perintah darurat pada awal tahun ini.

Menurutnya, perniagaan Denmark juga harus sentiasa diperbaharui dan disesuaikan dengan perubahan peraturan dan undang-undang mengenai prosedur operasi standard mengikut tahap pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerajaan Malaysia.

“EU dan Dewan Perniagaan EU memainkan peranan dalam melibatkan perniagaan Denmark pada waktu yang sukar ini.

“Kita harus terima hakikat bahawa sekarang adalah detik mencabar dan pandemik telah menjejaskan semua orang, termasuk komuniti perniagaan,” katanya.

Mengenai penutupan Kedutaan Denmark di Malaysia akhir tahun ini, beliau memberi jaminan Denmark akan terus bekerja untuk syarikat dan kepentingannya di Malaysia.

“Penglibatan dan hubungan sedia ada akan diteruskan,” katanya.

Menteri Luar Denmark Jeppe Kofod pada September lalu mengumumkan Kedutaan Denmark di Malaysia akan ditutup pada 2021.

Berikutan itu, hubungan dua hala dan komersial Malaysia-Denmark akan dikendalikan kedutaan Denmark di Jakarta, Indonesia.

Kedutaan Denmark di Kuala Lumpur dibuka pada 1963.

Leave a Reply