Pemain kebangsaan Gabon perkuat Sabah FC


Levy Clement Madinda (kiri) dan Risto Mitrevski – Kredit: Sabah Football Association

19/02/2021 09:24 PM

KOTA KINABALU, 19 Feb — Sabah FC bakal diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua pemain import dari Afrika dan Eropah bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) dalam laman Facebook memaklumkan pemain kebangsaan Gabon Levy Clement Madinda, 28, dan Risto Mitrevski, 29, dari Macedonia Utara menjadi pilihan pengurusan bagi memperkukuh pasukan Sabah FC.

Madinda, pemain tengah skuad kebangsaan Gabon itu banyak mengukir nama di Eropah menerusi kelab Sepanyol yang bermain dalam La Liga.

Beliau beraksi selama tujuh tahun bersama pasukan Celta Vigo sebelum berhijrah ke Yunani selama setahun dan seterusnya ke Turki dari 2018 hingga tahun lepas.

“Setelah bermain di Eropah, kini tiba masanya Madinda melakukan perjalanan jauh ke Asia Tenggara untuk bergabung dengan Sabah FC,” menurut kenyataan itu.

Mitrevski yang juga seorang pemain pertahanan, memulakan karier bola sepak sebagai pemain kelab di negaranya FK Rabotnichki ketika berumur 13 hingga 18 tahun sebelum diserap dalam pasukan utama kelab berkenaan pada 2009 hingga 2011.

Beliau kemudiannya beralih ke pasukan Metalburg Skopje yang beraksi dalam liga tertinggi di Macedonia Utara sebelum melebarkan sayapnya dengan mewakili pasukan di Eropah lain seperti Bosnia, Crotia, Cyprus dan Armenia antara 2014 hingga 2020.

Sementara itu, Sabah FC mengekalkan pemain pertahanan dari Korea Selatan yang beraksi bersama pasukan The Rhino sejak 2019, Park Taesu serta telah menandatangani pemain sayap kebangsaan Indonesia Saddil Ramdani.

Menurut kenyataan itu, Sabah FC akan mengumumkan seorang lagi pemain import untuk mengisi jentera serangan esok.

“Jumlah pemain pasukan Sabah FC untuk musim 2021 ini, 70 peratus daripadanya adalah anak jati Sabah,” menurut kenyataan itu.

Berikut adalah senarai pemain Sabah FC bagi Liga Super 2021 setakat ini :

Penjaga gol: Mohd Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining dan Joslan Aping.

Pertahanan: Rawilson Batuil, Jenius Karib, Randy Baruh, Evan Wensly Wanceslaus, Mohd Azwan Abdul Fattah, Dendy Lowa, Mafry Barang, Park Taesu, dan Ristro Mitrevski.

Tengah: Ricco Nigel Milus, Mohd Azzizan Nordin, Maxius Musa, Alto Linus, Hamran Peter, Ariusdius Jais, Sabri Sahar, Ummareng Bachok, Levy Clement Madinda, Saddil Ramdani dan N. Thanabalan.

Penyerang: Rahmanshah Marajeh, Bobby Gonzales, Mohd Amri Yahyah.

Skuad Kedah ke Langkawi perkuat pasukan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker