Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC terima baik lanjutan jendela perpindahan pemain

19/02/2021 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb — Pelanjutan tarikh jendela perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga-M) sehingga Mac adalah satu keputusan positif yang memberi ruang kepada semua pasukan membuat persiapan rapi bagi menghadapi kempen liga musim ini.

Ketua Pegawai Ekskutif Sri Pahang FC Datuk Mohammed Suffian Awang berkata keputusan dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu membuka ruang kepada pasukan untuk menilai pemain sebelum menghadapi saingan liga yang bermula 5 Mac ini.

Katanya, langkah itu juga memberi masa kepada pengendali pasukan melakukan penilaian prestasi terutama pemain baharu selepas latihan hanya dibenarkan bermula pada Isnin lepas susulan pelaksanaan Perintah Kawan Pergerakan (PKP).

“Bukan sahaja Pahang, keputusan ini memang akan memberikan banyak ruang kepada pasukan lain kerana apabila latihan terhenti seketika kerana PKP dan sebagainya, perancangan pasukan juga terganggu.

“Apabila pemain itu sampai, mereka kena kuarantin dan perlu melalui pelbagai proses dengan segalanya dilakukan secara maya, jadi banyak masa diperlukan sebelum pemain boleh turun berlatih,” katanya dalam kenyataan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Selain itu, Mohammed Suffian berkata dalam menilai kualiti pemain, pihak kejurulatihan juga tidak boleh membuat keputusan melulu dan perlu melihat prestasi semasa sebelum mengikat mana-mana pemain.

Sementara itu, Pengurus Besar Negeri Sembilan FC Firdaus Bhari berkata setiap pasukan kini berpeluang menilai mana-mana pemain import sebelum sepak mula Liga-M pada Mac depan.

“Bagi saya ini berita menggembirakan kepada semua pasukan kerana kita semua sedia maklum persiapan pasukan terjejas serba sedikit kerana PKP tempoh hari.

“Lanjutan pendaftaran pemain import ini sedikit sebanyak membuka ruang kepada pihak kejurulatihan agar tidak terburu-buru dalam melakukan pendaftaran pemain kerana mereka ada masa untuk menilai situasi semasa mana-mana pemain.

“Apa yang lebih mustahak, kemampuan pemain itu mampu berada di tahap yang jurulatih mahu sebelum liga bermula melalui pemantauan doktor serta jurulatih kecergasan, jadi langkah ini sememangnya tepat, “ katanya.

Semalam, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan FIFA telah melanjutkan tarikh jendela perpindahan pemain pertama sehingga 5 Mac untuk Liga-M.

Leave a Reply