UK umum rancangan pertingkat potensi bandar Oxford, Cambridge
19/02/2021 11:43 AM
LONDON, 19 Feb — Kerajaan Britain pada Khamis mengumumkan rancangan untuk memanfaatkan potensi ekonomi dan budaya dua bandar universiti terkenal di Britain – Oxford dan Cambridge.
Oxford-Cambridge Arc akan merubah dua bandar universiti itu menjadi antara koridor pertumbuhan utama dunia dan peneraju dunia dalam kelestarian, kata Menteri Perumahan Britain Christopher Pincher dalam satu kenyataan, lapor Agensi Berita Xinhua.
Berdasarkan kerangkanya, ia digambarkan sebagai rancangan untuk generasi, akan membantu mewujudkan ribuan pekerjaan, mendorong pelaburan, melindungi dan meningkatkan alam sekitar dengan membuka potensi jangka panjang di rantau ini, kata kenyataan itu.
Ia akan menyediakan infrastruktur dan tempat-tempat baharu yang diperlukan bagi kawasan itu, meliputi lima daerah iaitu Oxford, Buckingham, Northampton, Bedford dan Cambridge, sebuah kawasan yang lebih besar untuk tinggal dan bekerja, tambah kenyataan itu.
Dengan menggalakkan Arc ke peringkat antarabangsa, rancangan ini bertujuan membantu memanfaatkan potensi kawasan ini sebagai pusat inovasi global dengan output ekonomi melebihi US$277 bilion pada 2050.
— BERNAMA
PENGARAH BESAR FELDA GAGAL PENUHI JANJI, KETUA PENEROKA JADI MANGSA LEPAS KEMARAHAN