Pekerja asing cuba bawa masuk pendatang haram di Serudong gagal

21/02/2021 10:02 AM

KALABAKAN, 21 Feb — Cubaan tiga lelaki warga asing membawa masuk seorang wanita dan dua kanak-kanak perempuan warga Indonesia melalui jalan tikus gagal apabila ditahan Angkatan Tentera Malaysia melalui Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Briged) di kawasan Serudong di sini, semalam.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam satu kenyataan hari ini berkata kesemua mereka yang berumur antara tiga hingga 42 tahun itu ditahan pada 2.45 petang selepas dikesan berada dalam sektor Op Benteng 5 Briged.

“Pada mulanya, kumpulan Serkap mengesan tiga individu yang merupakan pekerja ladang kawasan sekitar menaiki dua motosikal dalam keadaan mencurigakan dan lima minit kemudian, didapati seorang wanita bersama dua anaknya berjalan melalui jalan tikus dari arah sempadan Indonesia menuju ke arah motosikal terbabit,” kata kenyataan itu.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati kesemua tahanan termasuk pekerja ladang itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan siasatan mendapati tiga pekerja ladang itu cuba membantu membawa masuk pendatang haram ke Malaysia.

“Turut dirampas dua motosikal jenis Honda Wave CL serta dua telefon bimbit dengan nilai rampasan dianggarkan RM12,000, kesemua tahanan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan lanjut,” katanya menambah Markas 5 Div akan terus mengukuhkan kawalan sempadan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *