PERSENDA GURU – YUSUF HITZ FM SARAWAK MOHON MAAF, DIGANTUNG TUGAS [VIDEO]

“Perkara pertama adalah saya dengan seikhlas hati memohon maaf kerana mempersenda guru terbabit. Ia langsung tidak lucu dan saya tak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk membenarkan sesuatu sikap buruk. Ia satu sikap saya yang amat biadab dan untuk itu saya mahu memohon maaf secara peribadi kepada dia dan keluarganya.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua guru-guru yang tersinggung selepas menonton video yang saya hasilkan,” itulah kata-kata penyampai radio Hitz FM Sarawak, Muhammad Yusuf Shukri atau DJ Yusuf, 29, yang tampil membuat permohonan maaf selepas tindakannya memuat naik video di aplikasi TikTok mempersenda cara sebutan bahasa Inggeris seorang guru wanita mengundang kecaman netizen.

Susulan kecaman yang diterima, Yusuf tampil membuat permohonan maaf menerusi entri di Instagram TV (IGTV) semalam. Dalam video berdurasi 2.33 minit itu, Yusuf mengakui tindakan memuat naik video terbabit sebagai perbuatan biadap dan tidak sepatutnya dilakukan.

 

Image_2.jpg

Dalam video tersebut, Yusuf turut meminta bantuan secara terbuka supaya dia dapat dihubungkan dengan guru itu bagi membolehkannya memohon maaf atas sikap yang ditunjukkan.

Terdahulu, Yusuf memuat naik video sebagai respons kepada sebutan bahasa Inggeris guru wanita sambil memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah. Video tular itu memaparkan aksi Yusuf mentertawakan guru terbabit yang sedang menyampaikan subjek Sains untuk siaran Didik TV.

Tindakan deejay berkenaan telah mencetuskan kemarahan netizen yang turut mendesak stesen radio Hitz FM Sarawak memecat Yusuf. Namun, segelintirnya meminta Yusuf tidak dipecat sebaliknya menggesa dia memohon maaf secara terbuka. Susulan itu, Yusof digantung tugas serta-merta menerusi kenyataan dikeluarkan wakil pengurusan stesen radio itu, semalam.

Image_3.jpg

Pengurus Besar Astro Radio East Malaysia, Hafiz Nizamuddin berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu selain memohon maaf atas perilaku penyampai terbabit.

“Hitz FM komited untuk menghiburkan dan memberi maklumat kepada rakyat Malaysia dan dengan tulus kami meminta maaf atas kelakuan buruk salah seorang penyampai radio kami menerusi sebuah video baru-baru ini yang menjadi tular.

“Kami memandang serius perkara ini dan akan melakukan siasatan dalaman mengenai perkara ini. Sementara itu, penyampai radio ini akan digantung tugasnya,” ujarnya.

Image_4.jpg

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *