Pesaka azam pertahan hak penganjuran kejuaraan dunia


Datuk Megat Zulkarnain Omardin

20/02/2021 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb — Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mahu mempertahankan hak Malaysia untuk menjadi tuan rumah dan penganjur Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2020 tatkala terdapat desakan supaya ia dibatalkan.

Setiausaha Agung Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata dakwaan desakan membatalkan kejuaraan edisi ke-20 di Sarawak itu timbul selepas empat negara iaitu Uzbekistan, Arab Saudi, Singapura dan Indonesia menyatakan minat menjadi tuan rumah bagi edisi seterusnya.

Megat Zulkarnain berkata jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi di negara ini menjadi antara asas digunakan beberapa pihak dalam mendesak supaya penganjuran Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2020 dibatalkan.

Jelasnya, jika dibatalkan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) akan membuat tawaran baharu kepada mana-mana negara yang berhasrat menganjurkan edisi kejuaraan seterusnya pada masa hadapan.

“Saya risau ada beberapa negara sudah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah…semacam untuk memohon supaya Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2020 dibatalkan.

“Jadi kita sedang dalam rayuan untuk kejuaraan edisi 2020 dikekalkan. Maknanya jika masih kekal, Malaysia masih jadi tuan rumah. Kita sedang menunggu, mudah-mudahan hak penganjuran PERSILAT kepada Malaysia dikekalkan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Jelasnya, usaha mempertahankan hak penganjuran itu juga kerana demi memastikan barisan pesilat negara yang telah bersedia mencipta sejarah selain mengharumkan nama Malaysia di pentas kejuaraan tertinggi berjaya melaksanakan misi tersebut.

Beliau berkata Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2020 juga bakal menjadi penampilan terakhir hampir kesemua pesilat senior negara.

“Kita kena hormati ramai dalam kalangan pesilat senior negara telah membuat keputusan untuk bersara selepas kejuaraan ini dan mereka nak mencapai impian menjadi juara dunia di bumi Malaysia. Jadi atas faktor itu Pesaka mesti mempertahankan hak ini,” tegas beliau.

Menyentuh mengenai penangguhan kejuaraan tersebut, beliau menyifatkan ia sesuai dianjurkan pada Jun atau Julai dan Disember ini dengan mengambil kira faktor ketersediaan banyak negara terutama dari benua Eropah.

“Kerana satu adalah faktor cuti musim panas dan kedua cuti musim sejuk. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menganjurkan kejuaraan kerana banyak negara Eropah mengambil bahagian, maka kita kena prihatin kepada mereka,” jelasnya.

KBS komited pastikan penganjuran kejohanan sukan pada 2021

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker