Mayat lelaki sudah reput dalam tong biru di kebun kelapa sawit

21/02/2021 06:22 PM

NIBONG TEBAL, 21 Feb — Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing dalam keadaan reput ditemukan dalam sebuah tong berwarna biru dalam kawasan kebun kelapa sawit di Tiga Kongsi, Simpang Ampat, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Lee Chong Chern berkata pihaknya menerima laporan pada jam 10.40 pagi tadi berhubung penemuan mayat itu daripada pemilik kebun berusia 46 tahun tersebut.

“Pemilik kebun itu memaklumkan kepada polis bahawa pekerjanya yang melakukan kerja pemotongan sawit di situ pada jam 6 petang semalam terhidu bau busuk dalam sebuah tong berwarna biru bersaiz 150 liter dan mendapati terdapat mayat didalamnya.

“Pemeriksaan polis mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mayat mangsa berusia lingkungan 40-an itu dipercayai warga asing dan telah meninggal dunia kira-kira sebulan…keadaan mayat telah mengecut serta mengering,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, pemeriksaan awal pada luaran mayat lelaki, yang memakai seluar pendek dan berbaju-T, mendapati tiada sebarang kesan kecederaan serta pasukan polis membuat pengesanan di sekeliling kawasan kejadian juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

“Setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan mana-mana individu. Bagaimanapun, kami minta kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, pekerja atau rakan agar tampil membuat pengesanan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Leave a Reply