‘Suka-suka’ bawa padah

21/02/2021 04:18 PM

PORT DICKSON, 21 Feb — Akibat perbuatan ‘suka-suka’ memecahkan cermin kereta, seorang penganggur menerima padah apabila ditahan polis di Jalan Kemuning di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Port Dickson kira-kira 3.50 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan khianat itu secara bersendirian dengan menggunakan batu-bata yang dikutip di tepi jalan sebelum memecahkan cermin kereta yang diparkir sekitar Taman Perumahan di Port Dickson, Teluk Kemang dan Lukut.

“Hasil pemeriksaan, polis turut merampas tiga motosikal bersama anak kunci, satu topi keledar dan pakaian yang digunakan suspek semasa melakukan jenayah di sebuah bengkel di Batu 9, Teluk Kemang.

“Setakat ini, sebanyak 18 laporan diterima polis berhubung kejadian khianat pecah cermin kereta sejak lebih seminggu lepas dengan menggunakan batu-bata yang dipercayai ada kaitan dengan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata siasatan mendapati suspek melakukan perbuatan berkenaan bukan bertujuan jenayah sebaliknya sekadar suka-suka membaling batu ke arah kereta yang diparkir semasa menunggang motosikal.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu didapati negatif selain suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kesalahan mencuri.

Suspek kini ditahan reman empat hari hingga Rabu depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *