Warga kerja MSN dituntut terap penetapan minda juara

Hebahkan !!!


Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

21/02/2021 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb — Majlis Sukan Negara (MSN) yang menyambut ulang tahun ke-50 hari ini, digesa untuk menerapkan ‘The Champion’s Mindset’ (penetapan minda juara) dalam membawa aspirasi sukan negara ke tahap lebih tinggi.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata semua warga kerja MSN perlu memiliki penetapan minda itu kerana pembangunan jaguh sukan yang hebat dan dihormati mesti bermula dari institusi tersebut.

“Asasnya mudah, dunia diubah oleh teladan anda; bukan oleh pendapat anda. Jika warga MSN sendiri mempunyai minda seorang jaguh dunia, maka lebih mudah untuk gelombang pemikiran sama dimiliki oleh atlet dan bakal atlet.

“The Champion’s Mindset inilah yang menerasi kecemerlangan kita dalam banyak acara sukan. Memang terlalu banyak searah kejayaan Malaysia dalam bidang sukan yang boleh kita singkap semula,” katanya ketika majlis pelancaran Jubli Emas MSN yang disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube MSN hari ini.

Beliau berkata penetapan minda itu juga menjadi nadi kejayaan wira negara yang memerah keringat dan kudrat untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat tertinggi seperti Tan Sri Dr M. Jegathesan, Datuk M. Rajamani, Sazali Samad, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Ziyad Zulkifli dan Abdul Latif Romly.

Penetapan minda dan kerangka pemikiran sama juga diwarisi jaguh seperti Mohd Azizulhasni Awang, Pandalela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Lee Zii Jia pada masa sekarang, jelas Reezal Merican.

“Tahun dan dekad yang akan datang ini, sebenarnya akan menguji daya kesungguhan dan komitmen kita semua. Cabaran sebenar ialah untuk kita melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

“Sementara kita berbangga dengan sejarah, kita sudah perlu mencipta lebih banyak cerita kejayaan dan nama-nama baharu di tinta emas bidang sukan. Selaku Menteri Belia dan Sukan di hari ulang tahun ke-50 MSN ini, saya memberi jaminan akan terus memberikan sokongan teguh dan padu untuk kejayaan berterusan MSN bagi tahun dan dekad akan datang,” katanya.

MSN yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dan Akta Majlis Sukan Negara (pindaan 1979) dilancarkan oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 21 Feb 1972.

Sepanjang lima dekad ini, MSN telah menjadi pemangkin dalam pembangunan bakat dan persediaan atlet ke sukan berprestasi tinggi menerusi program seperti Program Jaya 98, Program Gemilang 2001, Road to Rio 2016, Program Kita Juara 2017 dan Road to Tokyo 2020.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Leave a Reply

%d bloggers like this: