‘Sudin Chepo’ latih lebih 100 ekor beruk petik kelapa guna lima teknik kemahiran


Pelatih beruk Samsuddin Ibrahim, 50, atau mesra dikenali sebagai Sudin Chepo bersama beruk jantan bernama Saleh, 3, untuk memulakan latihan di Sekolah Beruk miliknya di Kampung Tok Saadang hari ini. Sejak 30 tahun lalu beliau telah melatih lebih 100 ekor beruk sehingga mahir dan dapat menggunakan pelbagai teknik untuk memetik kelapa sekaligus menjadikan beruk itu dapat dijual dengan harga pasaran tinggi sehingga mencecah RM4,000 seekor. — fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

11/01/2021 04:11 PM

KOTA BHARU, 11 Jan — Pengalaman turun-temurun diwarisi daripada arwah datuknya sebagai pelatih beruk mendorong Samsuddin Ibrahim, 50, membuka ‘sekolah’ bagi melatih haiwan berkenaan memanjat dan memetik kelapa.

Samsuddin atau lebih dikenali sebagai Sudin Chepo berkata sejak 30 tahun lepas, lebih 100 ekor beruk telah dilatih di Sekolah Beruk miliknya di Kampung Tok Sadang di sini menggunakan lima teknik memetik kelapa.

“Kebiasaannya pelatih hanya melatih beruk mereka dengan teknik memulas, namun saya menggunakan lima teknik berlainan iaitu teknik memulas, menggigit, memijak, mengupas dan memetik.

“Sekiranya seekor beruk yang dilatih mahir menggunakan pelbagai teknik untuk memetik kelapa, beruk itu dapat dijual dengan harga pasaran tinggi hingga mencecah RM4,000 seekor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bapa kepada dua anak berkata masa sekurang-kurangnya dua bulan diperlukan bagi memastikan seekor beruk itu mahir menggunakan pelbagai teknik dalam tempoh satu jam sehari.

Samsuddin yang mempunyai lesen memelihara beruk daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berkata beruk yang dibeli biasanya berusia lebih setahun dengan pembekal di seluruh negara pada harga RM250 seekor sebelum dilatih dan kemudiannya dijual kepada pembeli untuk memetik buah atau dipertandingkan.

“Ada juga penduduk di sini menghantar beruk mereka untuk dilatih dan saya mengenakan bayaran sebanyak RM300 seekor dan kebiasaanya beruk berusia dua tahun ke atas senang dilatih memandangkan sudah gagah.

“Saya juga mengambil upah memetik kelapa dengan harga RM25 untuk 100 biji dan beruk saya mampu memetik antara 500 hingga 700 biji sehari,” katanya yang memiliki dua ekor beruk dinamakan Salleh dan Sadat masing-masing berusia tiga dan empat tahun.

Bagi memastikan beruk kekal bertenaga serta lincah, Samsuddin memberi campuran air gula dan telur ayam kampung mentah serta nasi kosong selain mendapatkan suntikan vaksin agar beruk bebas daripada penyakit.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker