Polis kes4n personaliti media sosial langgar SOP

© Provided by Harian Metro KETUA Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat. FOTO Bernama

 

Kota Bharu: Polis sedang mengesan beberapa individu yang juga personaliti media sosial dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk merentas negeri semata-mata untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan kesalahan itu petang semalam.

“Hasil semakan terhadap berita yang tular mengenai beberapa individu yang disyaki melanggar SOP PKP, terdapat beberapa keping gambar yang dimuat naik menunjukkan mereka bergambar dengan pengantin tanpa penjarakan sosial serta tidak memakai pelitup muka.

“Malah, ramai juga yang tidak berpuas hati dan mempersoalkan mengenai pergerakan rentas negeri rakan pengantin dari luar ke Kelantan.

“Justeru, polis Kelantan sedang mengesan individu berkenaan dan kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Semalam, tular di media sosial beberapa personaliti media sosial yang dikatakan merentas negeri semata-mata untuk menghadiri perkahwinan rakannya di Kota Bharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply