Janna aktif semula di IG


© Provided by Berita Harian Janna memiliki 6.2 juta pengikut di IG. Foto IG Janna Nickzaidim

KUALA LUMPUR: Laman sembang kecoh konon akaun Instagram (IG), Janna Nick disekat gara-gara kontroversi artis K-pop yang menjadi topik hangat netizen, sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, semakan BH Online mendapati akaun IG Janna yang sebelum ini dinyahaktif, boleh diakses dengan pelakon Marry Me Senorita itu memuat naik entri, kira-kira tiga jam lalu.

Difahamkan, Janna yang memiliki 6.2 juta pengikut IG, perlu menunaikan komitmen dalam mempromosikan produk dan kerjaya lakonan melalui media sosial itu.

Pada entri terbaru yang dimuat naik, Janna yang masih membisu selepas mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi artis K-pop, semalam, mempromosikan drama Marry Me Senorita arahan Michael Ang.

Dalam perkongsian itu, Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Munner membiarkan ruangan komen dibuka mengiringi video yang dimuat naik.

Semakan mendapati, video memaparkan aksinya bersama teman lelaki, Dini Azan Schatzman dalam drama yang menggandingkan mereka itu, sudah mengumpul lebih 28,000 tanda suka.

Bagaimanapun, semakan mendapati akaun Twitter Janna masih belum aktif.

BH Online semalam melaporkan, Janna membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah, ugutan dan serangan peribadi yang mengaibkan serta merosakkan reputasinya di Malaysia dan di luar negara.

Janna berkata, beliau difahamkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah memulakan siasatan bagi mengenal pasti individu dipercayai penyebar fitnah, biarpun mereka dikatakan cuba berselindung di sebalik nama atau akaun samaran.

Bagaimanapun, Janna enggan memberi butiran lanjut mengenai laporan yang dibuat kepada polis.

Sejak akhir-akhir ini, nama Janna ‘panas’ apabila kontroversi tercetus pada 2018 ‘disensasikan’ semula dengan pengacara Melodi itu dituduh mempersendakan kematian bintang K-pop, mendiang Kim Jong-Hyun dan menyamakan anggota kumpulan Blackpink, Lisa Manoban sebagai ‘Lisa Blackpig’.

Mengulangi penafiannya dua tahun lalu, Janna yang mengaku peminat ‘budaya Korea Selatan’ menolak semua dakwaan, malah, pelakon itu bersumpah sambil memegang senaskhah al-Quran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply