Ketua sindiket dadah antara enam ditahan edar heroin base bernilai RM7.8 juta


Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Kamarul Zaman Mamat (tiga, kiri) menunjukkan antara barang rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

23/02/2021 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb — Seorang wanita disyaki ketua sindiket pengedaran dadah antara enam individu yang ditahan bersama bahan asas heroin (heroin base) seberat 87.86 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM7.8 juta.

Kesemua suspek yang terdiri daripada warga tempatan berusia 22 hingga 48 tahun ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dalam enam serbuan pada Jumaat lepas.

Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata hasil risikan dan maklumat orang awam, polis menyerbu beberapa rumah yang dijadikan tempat pengedaran dadah itu, selain menjumpai 240 slab heroin.

“Dalam serbuan di salah sebuah rumah, polis merampas dua pucuk pistol jenis Glock bersama 39 butir peluru jenis 9mm dan 0.45 mm.

“Selain itu, turut dirampas adalah lima kenderaan jenis BMW 320i, Nissan Murano, Toyota Harrier, Proton Perdana dan Perodua Myvi dianggar bernilai lebih RM330,000 serta wang tunai RM75,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata sindiket itu yang mengedar heroin base untuk pasaran tempatan telah memperoleh bahan asas berkenaan dari Myanmar melalui negara jiran dan telah bergiat aktif sejak Ogos tahun lepas.

Beliau berkata heroin base sindiket berkenaan boleh digunakan oleh sebanyak 3.2 juta penagih dadah pada satu-satu masa.

Mengulas mengenai modus operandi sindiket ini, Kamarul Zaman berkata berkemungkinan sindiket ini mengambil kesempatan menggunakan lori yang dikategorikan sebagai perkhidmatan penting untuk melepasi sekatan jalan raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Empat daripada enam suspek yang ditahan didapati positif syabu manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dadah,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama lima hari hingga esok untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Leave a Reply