Kelantan United tukar nama dan logo

 

Oleh Pena Merah

Kelantan United tukar nama dan logo
Logo baharu Kelab Bolasepak Kelantan United (KUFC) yang kini menggunakan nama Kelab Bolasepak Kelantan Darul Naim (KDN FC).

Kelab Bolasepak Kelantan United (KUFC), hari ini secara rasmi mengumumkan penukaran nama kelab itu kepada Kelab Bolasepak Kelantan Darul Naim (KDN FC).

Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran video berdurasi satu minit dan disusuli kenyataan media di laman sosial kelab.



Presidennya, Rozi Muhamad menjelaskan penjenamaan semula nama dan logo kelab adalah disebabkan keinginan pihak pengurusan untuk menyatukan penyokong dan pendukung bola sepak Kelantan di bawah satu panji serta bendera kebangaan, Kelantan Darul Naim.

Beliau berkata, logo dan warna tema kelab berubah daripada warna hijau putih kepada merah keemasan dengan gelaran pasukan kijang emas.

“Perubahan nama dan logo ini bukan untuk menggantikan pasukan utama Kelantan (Kelantan FC). Tapi demi melihat sebuah kelab yang berdaya saing beraksi di hirarki tertinggi Liga Malaysia bersama kelab utama yang lain dengan entiti lebih dominan serta memiliki satu pengaruh yang bersifat menyeluruh,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Rozi berkata, pihaknya merakam ucapan terima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan First Instance Body (FIB) yang membenarkan penggunaan penjenamaan semula kelab dan pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.



Katanya, curahan idea dan pendapat peminat dan penyokong bola sepak Kelantan adalah faktor utama penjenamaan kelab itu dilakukan.

Kelab turut mengumumkan slogan pasukan ‘segheii kelate segheii (serang Kelantan serang)’ dalam loghat Kelantan menggantikan slogan kita sahut kita lawan untuk lebih dekat dengan penyokong kelab Pantai Timur itu. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button