OKU rempuh restoran, seorang tukang masak maut, seorang lagi cedera

23/02/2021 04:39 PM

IPOH, 23 Feb — Seorang tukang masak maut manakala seorang lagi cedera, selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU), ketika sedang memasak di kaki lima sebuah restoran di Jalan Batu Sinar, Kampar pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menimpa mangsa yang maut Wong Kwai Yung, 59, dan rakan sekerjanya yang cedera Sek Loow See, 50, pada pukul 9.40 pagi.

“Siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berusia 54 tahun itu, sedang memasuki parkir di hadapan restoran itu untuk membeli makanan, namun secara tiba-tiba terpijak pedal minyak lalu merempuh kedua-dua pekerja yang sedang memasak di gerai pada hadapan kedai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.



Beliau berkata akibat kejadian itu, Kwai Yung meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala manakala Loow See mengalami luka kecil pada bahu dan kaki.

Katanya ketika kejadian, terdapat pelanggan yang sedang makan di dalam restoran dan akibat kejadian itu, kenderaan dipandu lelaki yang tiada kaki kanan itu mengalami kerosakan remuk pada bonet hadapan, pecah pada lampu besar kiri kereta dan pecah pada ‘bumper’ hadapan kereta.

Bagaimanapun katanya pemandu yang beralamat di Klang, Selangor itu bersama seorang penumpang wanita berusia 42 tahun yang beralamat di Kampar, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hasron Nazri berkata mayat mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.



Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker