31 termasuk empat wanita warga China ditahan terbabit pusat panggilan judi

24/02/2021 09:40 PM

HULU LANGAT, 24 Feb — Polis menahan 27 lelaki tempatan dan empat wanita warga China kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pusat panggilan perjudian dan lelongan tidak wujud yang dipercayai aktif sejak lebih sebulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 20-an ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Hulu Langat Jaya di sini pada 12.30 tengah hari tadi, hasil maklumat awam.

“Rumah berkenaan dipercayai disewa oleh sindiket itu dan setiap ahli sindiket dibayar gaji kira-kira RM3,000 sebulan. Sindiket itu yang menyasarkan warga China dan tempatan sebagai mangsa, dipercayai sudah menjana keuntungan sebanyak RM2 juta sejak beroperasi,” katanya dalam sidang media di sini.



Menurutnya, polis juga percaya sindiket itu turut didalangi seorang lelaki tempatan yang masih bebas.

Zainuddin berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menasihati pemilik premis supaya mengambil langkah berjaga-jaga apabila menerima penyewa kerana dikhuatiri mereka terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Orang awam digalakkan untuk memberi maklumat kepada polis jika mendapati kegiatan yang mencurigakan beroperasi di kawasan mereka,” katanya.



Sumber : BERNAMA

Pusat panggilan judi dalam talian: Tujuh ditahan di Melaka

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker