MFL, GSG jalin kerjasama cegah pengaturan perlawanan, perkongsian data

25/02/2021 02:25 AM

KUALA LUMPUR, 24 Feb — Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan jalinan kerjasama dengan Genius Sports Group (GSG) untuk perkongsian data siaran langsung Liga Malaysia (Liga-M) dan integriti baharu liga berkenaan.

MFL menerusi kenyataan memaklumkan sebagai rakan kongsi data dan teknologi dipercayai untuk liga-liga dan persekutuan bola sepak di seluruh Asia, GSG buat kali pertamanya akan menyediakan platform pengumpulan dan pengedaran data siaran langsung kepada badan pentadbir Liga-M itu bagi musim ini.

Selain itu, platform Sistem Pemantauan Pertaruhan GSG, Bengkel Integriti dan Perkhidmatan Audit Integriti, bakal menyediakan MFL dengan teknologi baharu dalam sukan dunia untuk mengenal pasti, mencegah dan memerangi sebarang ancaman terhadap ketelusan dan keadilan perlawanan Liga-M.

Badan pengelola itu yakin program integriti baharu berkenaan komprehensif untuk melindungi keharmonian Liga-M daripada gejala mengatur perlawanan dan rasuah berkaitan pertaruhan.

“Statistik perlawanan siaran langsung akan digunakan untuk memberikan sisi pandangan baharu kepada peminat bola sepak Malaysia melalui perkhidmatan penerbitan media sosial automatik, Widget siaran langsung dan platform media MFL yang lain.

“Dalam setiap perlawanan Liga Super dan pusingan kalah mati saingan Piala Malaysia, GSG bersetuju melantik jurustatistik bertauliah bagi menggunakan ‘Football LiveStats’ untuk merekod segala statistik pasukan dan pemain termasuk lokasi rembatan, bantuan jaringan gol serta kad dengan penjelasan lebih terperinci,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata kerjasama itu turut menyediakan data secara langsung di seluruh siaran, media sosial dan aplikasi bola sepak Malaysia dikenali Shoot!, dengan prapelancaran aplikasi itu bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

“Dengan data siaran langsung mudah diperoleh dalam format digital, ia pasti akan meningkatkan pengalaman peminat serta pengetahuan mereka mengenai perlawanan semasa ia berlangsung, yang kami yakin dapat memperluaskan dimensi pertandingan, pemain, pasukan dan sekali gus meningkatkan nilai komersial Liga-M,” katanya.

Pengurus Kanan Perkongsian Komersial untuk Asia di GSG, Mohamed Feizel pula menyifatkan data dan statistik siaran langsung penting buat peminat masa kini, terutama dengan sebahagian besar bola sepak dunia masih dimainkan secara tertutup.

“Dengan kerjasama bersama MFL, kami akan memberikan statistik terkini dan menarik kepada peminat mereka sebelum, semasa dan selepas setiap perlawanan sambil menyediakan platform untuk memperluaskan imej Liga-M secara global,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *