Vaksin COVID-19 sumbangan China tiba di Mesir
24/02/2021 05:25 PM
KAHERAH, 24 Feb — Vaksin COVID-19 yang disumbangkan China untuk Mesir dan Sekretariat Liga Arab selamat tiba di sini, pagi Selasa, waktu tempatan.
Majlis menyambut ketibaan vaksin di lapangan terbang dihadiri Duta China ke Mesir, Liao Liqiang dan Penolong Menteri Kesihatan dan Penduduk Mesir, Wael El Saaey.
Ketika diwawancara oleh Kumpulan Media China (CMG), Liao berkata, sumbangan itu antara tindakan praktikal China bagi menunaikan janji menjadikan vaksin sebagai produk awam global.
Beliau berharap vaksin China dapat membantu usaha Mesir memerangi COVID-19, selain memperkasa kerjasama kedua-dua negara dalam melawan pandemik.
“China dan Mesir akan melakukan lebih banyak kerjasama dalam memerangi wabak pada fasa seterusnya.
“China telah memberikan bantuan kepada lebih 50 negara, kebanyakannya negara membangun, di samping menjalankan kerjasama dengan lebih 20 negara yang mahu membeli vaksin keluaran China, selain turut menyumbangkan 10 juta dos vaksin kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” tambah Liao.
Tegasnya, bantuan China itu tidak menyasarkan sebarang tujuan geopolitik dan kepentingan ekonomi, tanpa disertakan syarat politik.
Sementara itu, Wael El Saaey bagi pihak Mesir merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan yang diberikan sambil menyatakan Mesir dan China telah menjalinkan kerjasama luas dalam bidang kesihatan.
“Kerjasama itu turut memperlihatkan hubungan akrab dan persahabatan kukuh antara rakyat kedua-dua negara.
“Vaksin China sangat meyakinkan dan telah mendapat pengiktirafan yang tinggi di Mesir,” katanya.