15 penyerang di Thailand mungkin cuba selinap masuk Malaysia – KPN


Sempadan Malaysia-Thailand

27/02/2021 04:44 PM

JELI, 27 Feb — Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan 15 individu penyerang yang diburu polis Thailand akan cuba memasuki negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Justeru, Abdul Hamid berkata pihaknya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperketatkan kawalan di semua sempadan negara Malaysia-Thailand bagi menghadapi kebarangkalian itu.



“Berhubung kawalan sempadan, kedua-dua pihak sama ada PDRM dan ATM sentiasa diingatkan supaya memperketatkan kawalan sempadan. Dengan kejadian yang berlaku di Thailand, kami tidak menolak kemungkinan mereka (15 penyerang) itu akan masuk (Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli dekat sini hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Beliau mengulas laporan dua anggota renjer maut manakala seorang lagi rakan mereka parah dalam letupan bom paip dan insiden berbalas tembakan di kampung di Ra-ngae, Narathiwat yang terletak di selatan Thailand, Jumaat lepas.

Media melaporkan, Ketua Polis Ra-ngae, Piyapak Thongpanlertkun berkata dalam kejadian pada 6.50 pagi (waktu tempatan) itu, 16 anggota renjer yang sedang berehat di dalam khemah selepas melakukan rondaan di kawasan berkenaan dikejutkan dengan beberapa letupan, kemudian sekumpulan individu mula melontarkan bom paip buatan sendiri serta melepaskan tembakan ke arah khemah itu.



Dalam perkembangan lain, mengenai Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis, Abdul Hamid berkata ia merupakan prosedur biasa bagi menjalankan siasatan lanjut.

Semalam, polis telah merakam keterangan Anwar berhubung siasatan terhadap kenyataan bersama yang dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang antaranya menolak keputusan kerajaan mengisytiharkan darurat di seluruh negara, pada Januari lepas.

Lelaki selinap masuk Narathiwat kerana rindu anak, isteri ditahan polis Thai

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker