Desas-desus lebih banyak keluar parti selepas wakil rakyat berpaling daripada Warisan
© Provided by Free Malaysia Today Dengan tindakan Hassan A Gani Pg Amir keluar Warisan, GRS kini mendapat sokongan 48 daripada…
KOTA KINABALU: Spekulasi semakin membara bahawa terdapat kemungkinan lebih banyak akan keluar daripada Warisan selepas salah seorang ADUN parti itu beralih arah kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semalam.
Sumber parti berkata, terdapat khabar angin ada lagi yang sedang mempertimbangkan untuk mengikut jejak langkah ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, yang mengisytiharkan dirinya wakil rakyat bebas yang menyokong GRS.
Seorang sumber berkata, tindakan Hassan mengejutkan Warisan kerana beliau bukan antara mereka yang dikhabarkan akan berpaling tadah.
“Apa sahaja mungkin terjadi sekarang selepas dia keluar parti tapi kita akan tengok apa yang akan berlaku kerana masih banyak yang setia pada presiden parti, Shafie Apdal,” kata sumber yang minta identitinya dirahsiakan.
© Provided by Free Malaysia Today Hassan A Gani Pg Amir
Sumber itu juga berkata, waktu pembelotan itu ganjil kerana tidak ada petanda mana-mana ADUN mahu berhijrah, memandangkan keadaan politik semasa yang tidak menentu.
“Siapa tahu, mungkin ini adalah petanda hal yang akan datang dengan spekulasi mengenai pilihan raya umum kilat tidak lama lagi,” kata sumber itu.
Penganalisis politik Tony Paridi Bagang berkata, melihat kepada kecenderungan melompat parti di Sabah sebelum ini, terdapat bukti untuk percaya lebih banyak wakil rakyat akan beralih arah.
“Alasan yang sama diberikan, seperti ingin sejajar dengan kerajaan semasa, hilangnya kepercayaan pada parti, dan ingin mengutamakan pembangunan bagi penduduk mereka.
“Apa pun alasannya, ini menunjukkan penyesuaian semula politik akan terus berlaku selagi undang-undang anti-lompat (parti) tidak dikuatkuasakan,” katanya kepada FMT.
Menurut Bernama, Hassan memutuskan untuk meninggalkan Warisan kerana parti itu lebih fokus kepada berpolitik, bukannya kesejahteraan rakyat. Dia juga menyatakan sokongannya pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Hassan sedih kerana Warisan mengutamakan politik berbanding kebajikan rakyat yang sedang bergelut mengharungi wabak Covid-19.
Keputusannya untuk berpihak kepada GRS bermaksud gabungan itu, yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), dan PBS, kini mendapat sokongan 48 daripada 79 ADUN.
Dalam pilihan raya Sabah tahun lalu. Hassan mengalahkan pesaing terdekatnya Muis Picho dari PN dalam persaingan tujuh hala untuk kerusi Sebatik, dengan majoriti 522 setelah memperoleh 2,665 undi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi GRS, Bung Moktar Radin, dan ketua penerangan Joniston Bangkuai tidak terkejut dengan keputusan Hassan.
Bung, yang juga pengerusi BN dan Umno Sabah, dan Bangkuai, setiausaha agung PBS, bagaimanapun tidak sedari akan berlaku lebih banyak penghijrahan.
Bung ada mendengar “desas-desus” Hassan sedang memikirkan untuk menyertai gabungan itu selepas pilihan raya negeri.
“Tetapi kami tidak menghubungi dia. Saya percaya keputusannya untuk meninggalkan Warisan bukan disebabkan permintaan sesiapa, tetapi kerana dia hilang keyakinan terhadap perjuangan parti.
“Saya menyambut baik keputusannya untuk menyokong GRS. Umno Sabah juga sentiasa terbuka kepada mana-mana ADUN, Ahli Parlimen, atau sesiapa sahaja untuk menyertai parti kami,” kata beliau.
Bangkuai berkata, Hassan “mungkin telah melihat sesuatu yang dia suka” mengenai pentadbiran GRS yang mendorongnya meninggalkan Warisan.
ADUN Kiulu itu berkata, para ADUN pembangkang memuji Ketua Menteri Hajiji Noor kerana memberikan peruntukan khas berjumlah RM100,000 khas untuk setiap 31 anggota pembangkang untuk membantu konstituen mereka mengharungi wabak.
“Saya tidak tahu menahu dia akan melompat (parti) tetapi itu tidak benar-benar mengejutkan saya.
“Kita sekarang memiliki kerajaan yang ingin berlaku adil terhadap semua orang. Sebilangan besar tokoh pembangkang mengucapkan ‘terima kasih’ kepada CM (untuk peruntukan khas)…mungkin itu mendorongnya untuk memikirkan kembali penyesuaian politiknya,” kata beliau.
Bangkuai tidak tahu sama ada lebih banyak ADUN pembangkang akan menyokong GRS tetapi tiada masalah mengalu-alukan “rakan-rakan baharu” ke gabungan tersebut.
“Kenapa tidak? Mungkin lebih baik untuk kita semua bersatu dan memastikan kita mempunyai kerajaan yang kuat untuk membawa perubahan demi kemajuan Sabah,” kata beliau.
Sumber : FMT
ADUN Sebatik umum keluar Warisan, jadi ADUN bebas sokong GRS