Ejen insurans ingin pinjam RM200,000 ditipu RM252,074, doktor ditipu lebih RM72,000
26/02/2021 06:16 PM
KEPALA BATAS, 26 Feb — Seorang ejen insuran mengalami kerugian RM252,074 selepas ditipu syarikat pinjaman wang tidak wujud di sini baru-baru ini, manakala seorang doktor di Melaka ditipu lebih RM72,000, juga gara-gara ingin membuat pinjaman RM200,000.
Di Kepala Batas, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata seorang ejen insurans wanita berusia 50 tahun dari Bertam Perdana pada mulanya mahu membuat pinjaman RM200,000 selepas berminat dengan iklan pinjaman wang yang menggunakan nama sebuah bank, yang dikesannya menerusi carian Google.
Beliau berkata wanita itu mendakwa dia mengikut arahan di ruangan iklan itu, termasuk meninggalkan nombor telefonnya, sebelum dihubungi melalui aplikasi Whatsapp oleh seorang lelaki mendakwa sebagai pekerja di bank yang menawarkan pinjaman peribadi.
“Lelaki itu memaklumkan jika mahu meminjam wang, peminjam perlu membuat pelbagai bayaran untuk proses pinjaman termasuk bayaran insurans, dan dia bersetuju kerana mahu mengubah suai rumah serta kegunaan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorzainy berkata wanita itu membuat 25 transaksi pindahan wang RM 252,074 ke 18 akaun bank berbeza seperti yang diarahkan suspek dan dia masih diminta untuk buat tambahan bayaran tambahan.
Katanya wanita yang merasa tertipu itu kemudiannya menghubungi pihak bank, namun pemeriksaan mendapati institusi kewangan itu tidak pernah menawarkan sebarang pinjaman menerusi carian Google, dan dia kemudiannya membuat laporan polis semalam selepas gagal menghubungi suspek.
Sementara itu di MELAKA, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt E.Sundra Rajan berkata penipuan bermula apabila doktor lelaki berusia 30 tahun itu berurusan dengan suspek melalui panggilan telefon, dan bersetuju untuk membuat pinjaman RM200,000.
Beliau berkata doktor itu melakukan tujuh kali transaksi pembayaran secara berperingkat berjumlah RM72,165.74 ke dalam tiga akaun bank berbeza yang diberikan suspek, namun selepas membuat pembayaran suspek masih meminta wang dari doktor itu, kononnya untuk pelbagai bayaran seperti bayaran setem dan sebagainya.
Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata lelaki itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah semalam dan menurutnya hasil semakan di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule polis mendapati nombor talian yang digunakan suspek terlibat dengan sembilan laporan menggunakan modus operandi sama.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu.