Esukan.gg, platform satupadukan ekosistem e-sukan negara


Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada majlis menandatangi perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated Ahmad Faris Amir (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Techninier Sdn Bhd Datuk Lion Peh (kanan) bagi menyokong dan memanfaatkan Platform Kejohanan Esports Integrated (ESI) esukan.gg untuk memacu pengembangan industri, di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

26/02/2021 06:11 PM

PUTRAJAYA, 26 Feb — Ekosistem industri sukan elektronik (e-sukan) negara disasar akan lebih bersistematik dan bersepadu, selain pembangunan yang terarah menerusi pembinaan platform e-sukan kebangsaan iaitu Esukan.gg, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau menyifatkan dengan kewujudan Esukan.gg, mampu menjadikan penyediaan dari aspek ranking pemain dan servis penstriman lebih tersusun, manakala penganjuran kejohanan e-sukan di negara yang sebelum ini yang dilakukan secara terasing, dapat disatupadukan.

“Dengan adanya inisiatif melalui Esukan.gg, ia akan menjadi platform untuk menghubung antara penganjur kejohanan dan penerbit permainan. Jadi sekarang ini anda tidak perlu pergi kepada penerbit permainan yang besar untuk mendapatkan pengiktirafan untuk menganjur. Esukan.gg akan jadi penghubung.

“Paling penting ia langkah permulaan yang disebut sebelum ini sebagai pendekatan intergrasi iaitu menyatupadukan pangkalan data pemain, dan menyediakan sistem ranking serta servis penstriman buat penonton, sekali gus menjadikan ekosistem esukan lebih bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Perkongsian pembinaan platform Esukan.gg antara Techninier Sdn Bhd dan Impact Integrated, di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Reezal Merican berkata platform itu juga akan membantu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebagai langkah menyediakan pemain e-sukan tempatan untuk diangkat mewakili negara dalam sebarang kejohanan antarabangsa yang diiktiraf, antaranya temasya Sukan SEA dan Sukan Asia.

Beliau turut menyifatkan platform Esukan.gg sebagai pembuka laluan, kepada pihak yang berhasrat menganjurkan kejohanan tanpa mengakibatkan impak negatif kepada ekosistem dan pembangunan sukan, berasaskan permainan video itu.

“Ramai pihak di luar sana yang ingin menganjurkan kejohanan, tetapi mereka mempunyai pelbagai kaedah tersendiri, yang akhirnya menyebabkan berpecah-belah.

“Kita tidak mahu lagi dalam aspek ekosistem yang terasing yang selama ini tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak, bahkan ia akan menjadikan pembangunan e-sukan sendiri, tidak akan berlaku secara terarah,” jelas Reezal Merican.

Esukan.gg dilancarkan pada November lepas sebagai platform rasmi bagi Kejohanan E-Sukan Malaysia 2020/2021, yang disertai lebih 11,000 penggiat e-sukan tanah air, serta mendapat lebih dari 1 juta tontonan.

Peruntukan RM700,000 untuk e-sukan dapat galak penyertaan golongan muda

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker