Pekerja kontrak terlepas tali gantung, di penjara lapan tahun

26/02/2021 05:06 PM

GEORGE TOWN, 26 Feb — Seorang pekerja kontrak menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung selepas dakwaan membunuh yang dihadapinya dipinda kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu, selepas melihat wujudnya keraguan pada akhir pendakwaan serta kegagalan membuktikan Mohd Faizul Md Saaid, 45, mempunyai niat untuk membunuh K.Lokeswaran, 34, seorang warganegara India pada 2017.

Mohd Radzi kemudian memutuskan pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dipinda kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd Faizul didakwa telah melakukan pembunuhan dan menyebabkan kematian K.Lokeswaran di hadapan Kuil Ujong Batu, Butterworth pada jam 4.30 petang hingga 4.35 petang, 25 Sept, 2017, di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Mohd Faizul turut hadapi pertuduhan kedua iaitu, menyebabkan kecederaan dengan menggunakan sebatang kayu ke atas R. Dharmedran, 31, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan tersebut Mohd Faizul didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Mohd Radzi telah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun untuk pertuduhan pertama dan hukuman penjara tiga tahun untuk kesalahan menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun, Mohd Radzi memerintah kedua-dua hukuman penjara dijalankan secara serentak dari tarikh tangkap iaitu pada 25 Sept 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam A. Chandra Segaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *