Hasrat dua beradik hadiahkan kereta buat bapa tidak kesampaian


SEREMBAN, 27 Feb — Hasrat dua beradik di sini untuk menghadiahkan sebuah kereta buat bapa mereka tidak kesampaian apabila abang, Hafidzan Zainal, 44, terlibat dalam kemalangan ketika memandu kereta berkenaan untuk dibawa pulang, semalam. Lebih menghayat hati, adiknya, Mohd Fauzi Zainal, 39 yang membawa sebuah lagi kereta turut terkorban apabila diserang sawan selepas melihat kejadian menimpa abangnya di kilometer 17, Jalan Kuala Pilah Simpang Pertang, di sini kira-kira pukul 4.30 petang. Shah Rizal Zainal, 41, berkata abang dan adiknya dalam perjalanan dari Felda Pasoh, Jelebu untuk ke Taman Kobena, Senawang di sini selepas selesai urusan pembelian dan ingin menyerahkan kereta jenis Proton Iswara Aeroback kepada bapa, Zainal Sulong, 63. Jenazah kedua beradik itu sedang diuruskan selepas selesai disolatkan di surau Taman Kobena sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Senawang untuk pengkebumian di sini hari ini. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

27/02/2021 09:48 PM

SEREMBAN, 27 Feb — Hasrat dua beradik di sini untuk menghadiahkan sebuah kereta buat bapa mereka tidak kesampaian apabila si abang, Hafidzan Zainal, 44, maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika memandu kenderaan berkenaan untuk dibawa pulang, semalam.

Lebih menyayat hati, si adik, Mohd Fauzi Zainal, 39, yang memandu sebuah lagi kereta, turut menghembuskan nafas terakhir selepas diserang sawan apabila melihat nasib yang menimpa abangnya di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah Simpang Pertang di sini pada kira-kira 4.30 petang.

Shah Rizal Zainal, 41, berkata tragedi itu berlaku ketika abang dan adiknya dalam perjalanan dari Felda Pasoh, Jelebu untuk ke Taman Kobena, Senawang di sini selepas selesai urusan pembelian dan ingin menyerahkan kereta jenis Proton Iswara Aeroback kepada bapa mereka, Zainal Sulong, 63.

“Mereka pergi dengan sebuah kereta, ketika pulang abang, yang juga seorang posmen, bawa Iswara manakala adik bawa kereta Perodua Myvi, bagaimanapun, ketika pulang, kereta abang dipercayai terbabas. Adik pula dikatakan terkejut dan pengsan melihat abang berlumuran darah di depan matanya.

“Kedua-duanya sudah lama berhasrat menghadiahi ayah kereta bagi memudahkan urusan ayah untuk ke mana-mana, tetapi sudah takdir, kereta tidak dapat diguna malah mereka pula pergi dalam keadaan menyedihkan,” katanya kepada Bernama.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Hoo Chang Hook pula berkata berdasarkan maklumat awal, apabila Mohd Fauzi melihat Hafidzan terlibat dalam kemalangan itu, mangsa pengsan dan mulutnya berbuih.

“Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah, bagaimanapun, Mohd Fauzi disahkan meninggal ketika dalam perjalanan. Pemeriksaan terhadap mangsa juga mendapati tiada kecederaan atau luka luaran yang disyaki ada unsur jenayah.

“Semakan rekod perubatan juga mendapati Mohd Fauzi mempunyai sejarah sakit sawan. Bedah siasat ke atasnya dijalankan pada 10 pagi tadi bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Beliau berkata Hafidzan pula terbabit dalam kemalangan selepas dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar besi penghadang.

“Mangsa, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, telah disahkan meninggal dunia pada kira-kira 8 malam selepas lebih tiga jam terlibat dalam kemalangan. Proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa pada 9 pagi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kedua-dua beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang pada 7 malam.

 

Leave a Reply