The Cops tekad perbaiki reputasi musim 2021


Kredit: Facebook PDRM FA ‘The Cops’

27/02/2021 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Kelab bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) mahu memperbaiki reputasi pada saingan Liga Premier 2021, selepas tersingkir daripada Liga Super musim lepas yang disifatkan sebagai kenangan pahit.

Ketua jurulatih PDRM FC Mat Zan Mat Aris berkata kehadiran pemain import Bruno Suzuki dari Jepun dan Lazarus Kaimbi (Namibia) bakal memperkuat jentera serangan skuad The Cops, manakala dua pemain dari benua Afrika Victor Kamhuka (Zimbabwe) dan Alexander Amposah (Ghana) akan menambah kualiti di bahagian tengah serta pertahanan.

“Bruno kita tahu sebelum ini pernah bermain dengan Terengganu FC serta Negeri Sembilan sementara Kaimbi juga pernah (beraksi) dengan Kelantan dan Pahang, jadi mereka sudah ada rekod tersendiri dan ia cukup penting kerana mereka sudah tahu asam garam permainan di sini.

“Faktor itu juga menyaksikan mereka tiada masalah menyesuaikan diri berbanding risiko kita mengambil pemain luar yang pertama kali datang ke sini. Saya harap mereka mampu jadi harapan dalam memburu jaringan buat pasukan selain Victor dan Amposah di bahagian pertahanan,” katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Sementara itu, Mat Zan berkata beliau lebih selesa bekerja dalam situasi yang mana pasukannya kurang diberi perhatian dan secara tidak langsung mengurangkan tekanan kepada barisan pemain.

Katanya, sebagai jurulatih baharu skuad itu, komitmen dan tumpuan utamanya adalah membina semula reputasi PDRM FC di pentas Liga Malaysia (Liga-M).

“Saya rasa tiada yang mustahil untuk membawa PDRM FC dalam kelompok atas malah memberikan cabaran kepada kejuaraan Liga Premier walaupun barisan pemain kali ini ramai bersandarkan bakat dan mereka yang sanggup bekerja keras untuk pasukan,” katanya.

PDRM FC yang mengekalkan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras sebagai gelanggang tuan rumah, akan berdepan Selangor FC 2 pada pembukaan kempen Liga Premier, 6 Mac ini.

Musim lepas, The Cops gagal meraih sebarang kemenangan mengakibatkan mereka tersingkir daripada saingan Liga Super.

Dikecam Gel4r Lisa ‘Blackpig’, Janna Nick Tutup IG & Twitter?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker