Kes bunuh Ceo Cradle Fund: Plastik putih ada kesan seakan-akan jelaga antara dirampas polis


Allahyarham Nazrin Hassan (Gambar fail)

01/03/2021 08:17 PM

SHAH ALAM, 1 Mac — Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat kesan seakan-akan jelaga pada plastik putih tertulis nama ‘Nazrin’ mengandungi kad sim yang ditemui ketika pemeriksaan polis di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada 11 Sept 2018.

Pegawai Penjaga D9 Siasatan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, R Murugesh, 35, berkata kesan itu dilihat berdasarkan pemerhatiannya terhadap plastik tersebut.

“Ada (kesan seakan-akan jelaga), pada plastik (berwarna putih),” katanya ketika menjawab soalan peguam bela L.S. Leonard mengenai kewujudan kesan itu pada bahan bukti yang mengandungi kad sim tersebut pada perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, hari ini.

Samirah Muzaffar, 46, bekas eksekutif kanan yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing pada berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, menyebabkan kematian Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Murugesh, saksi ke-37 berkata kad sim berwarna putih di bahagian hadapan dan ungu di belakang itu, dirampas oleh pasukannya ketika melakukan pemeriksaan kali kedua di sebuah bilik di kediaman ibu bapa Samirah kira-kira 4.30 petang pada hari tersebut yang dipandu arah oleh Samirah.

Beliau berkata pada plastik putih itu juga terdapat kesan kecil seakan-akan cair di bahagian atas bahan kes itu.

“Ketika (pemeriksaan) ada nampak kesan (jelaga) seakan-akan ada, nampak juga (kesan) sedikit kotor, ada kehitaman sedikit. Mungkin benda (plastik putih) tersebut sudah lama,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Siti Rohaida Che Hamid berhubung kewujudan kesan pada plastik tersebut.

Terdahulu, Murugesh yang membaca pernyataan saksi memaklumkan, semasa pemeriksaan di kediaman ibu bapa Samirah, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Operasi D9 Cawangan Siasatan Jenayah Khas IPD Petaling Jaya.

Beliau berkata semasa di rumah itu, pihaknya turut merampas barang elektronik ketika dipandu arah oleh seorang remaja lelaki yang juga salah seorang tertuduh bagi kes berkenaan, kira-kira 7.50 pagi.

“Antaranya yang dirampas ialah tiga telefon bimbit jenama Nokia, Samsung dan Huawei, dua komputer riba jenama Apple dan Lenovo, (dua) Ipad dan (dua) cakera keras, satu kad sim, (satu) kamera Nikon, (satu) alat pengecas Apple. Kesemua barang ini dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *