Saman fitnah terhadap Nurul Izzah, PKR: Rayuan NFCorp, Mohamad Salleh ditolak


01/03/2021 05:59 PM
PUTRAJAYA, 1 Mac — Mahkamah Persekutuan menolak rayuan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berhubung saman fitnah mereka terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan PKR.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak saman fitnah NFCorp dan Mohamad Salleh itu.

Harmindar Singh, yang menyampaikan keputusan mahkamah itu berkata Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution Ismail, yang disaman atas kapasiti sebagai setiausaha agung PKR, telah membuat justifikasi pembelaan dan mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi ganti rugi atas fitnah.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi berpendapat kenyataan Nurul Izzah yang dibaca secara keseluruhannya tidak memfitnah.

Mahkamah memerintahkan NFCorp dan Mohamad Salleh membayar kos RM50,000.

NFCorp dan Mohamad Salleh pada 24 Dis 2013, memfailkan saman terhadap Nurul Izzah, ketika itu Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berhubung satu kenyataan mengenai pembelian lapan unit kondominium di KL Eco City.

Mereka mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan memfitnah itu dalam siaran Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012

Pada 4 Mac 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut dan mereka juga gagal dalam usaha di Mahkamah Rayuan apabila rayuan ditolak pada 10 Julai 2017.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Harmindar Singh berkata Mahkamah Rayuan telah bersetuju dengan penemuan Mahkamah Tinggi bahawa terdapat kebenaran dalam sidang media yang berlaku mengenai konflik di melibatkan isteri Mohamad Salleh, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang ketika itu adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Katanya, tumpuan juga adalah sama ada terdapat sebarang konflik kepentingan oleh isteri Mohamed Salleh apabila lapan unit kondominium dibeli oleh keluarganya sendiri termasuk Mohamad Salleh.

Harmindar berkata mahkamah berpendapat bahawa isu sebenar yang diputuskan adalah berkaitan dengan anggapan orang biasa setelah melihat keseluruhan kenyataan media itu.

“Dalam penilaian kami, seseorang tidak akan memberi perhatian kepada perkara yang dikatakan difitnah itu, yang terdapat dalam satu ayat kenyataan akhbar yang sangat panjang dan sebaliknya hanya tertumpu pada bahagian utama kenyataan akhbar mengenai isteri plaintif (Mohamad Salleh),” katanya.

Beliau berkata satu ayat itu bermaksud sebagai pengenalan kepada perkara utama kerana ia adalah pendedahan oleh bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramly mengenai penyalahgunaan dana.

Katanya, tiada tindakan diambil oleh Shahrizat berhubung dakwaan tersebut walaupun saman telah difailkan terhadap Rafizi Ramly atas kenyataan yang telah dibuatnya.

Mengenai justifikasi pembelaan, hakim itu berkata Mohamed Salleh gagal mendedahkan sumber pendapatannya untuk membiayai pembelian unit-unit kondominium itu selain membuat kenyataan tanpa sokongan.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli dan Datuk Joshua Kevin mewakili Nurul Izzah manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Mohamad Salleh dan NFCorp.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *