Sektor Pelancongan Semakin Nazak – Zahid Hamidi

Zahid Gesa Kerajaan Bantu Sektor Pelancongan Yang Makin Nazak

Larangan rentas daerah dan negeri memberi impak yang sangat besar kepada sektor pelancongan.

Walau dibenarkan beroperasi, mustahil untuk mencapai nisbah faedah-kos yang sewajarnya.

Ini kerana pelancongan berkaitan dengan aktiviti pengembaraan dan lawatan oleh orang ramai.

Bagaimana orang ramai mahu mengembara dan melawat apabila dilarang merentas kawasan.

Kerugian Pengusaha Pelancongan

Jangan salah faham. Saya tidak berhasrat berbicara tentang kewajaran larangan rentas daerah atau negeri.

Apa yang saya ingin tekankan tentang nasib mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sektor ini.

Bukan sekadar tentang kerugian dihadapi oleh pengusaha hotel, tetapi juga nasib pekerja-pekerja mereka.

Bukan juga semata-mata mengenai kemudaratan dialami pusat peranginan, tetapi kesannya kepada industri hiliran.

Peniaga makanan, kraftangan, pakaian dan banyak lagi yang majoritinya diusahakan oleh pengusaha-pengusaha kecil.

Sudah agak lama mereka menanggung azab ini dan masih menanggungnya sehingga hari ini.

80% Terima Vaksin Menjelang 2022

Yang menjadi persoalan beberapa hari lalu kita dimaklumkan kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri hanya akan dipertimbangkan selepas 80% rakyat diberi vaksin.

Sedangkan kita pernah diberitahu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan memastikan ‘at least’ 80% penduduk Malaysia menerima vaksin dijangka hanya selesai menjelang Februari 2022.

Adakah ini bermaksud mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan yang sedang terjejas teruk diminta untuk bertahan bagi tempoh setahun lagi?

Saya bimbang kebanyakan pengusaha dan pekerja sektor pelancongan tidak mampu bertahan bagi tempoh minimum 12 bulan akan datang.

Jangan lupa industri pelancongan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara kasar yang bermaksud ramai rakyat bernaung dibawahnya.

Tahun lalu kita diberitahu kira-kira sejuta pekerja sektor pelancongan di Malaysia dikhuatiri hilang pekerjaan susulan penularan jangkitan Covid-19.

Survival Pengusaha Pelancongan

Justeru, pada pandangan saya bantuan yang diberikan kepada pengusaha dalam sektor pelancongan perlu ditambah baik untuk membantu mereka terus ‘survive’ pada waktu sukar begini.

Institusi kewangan juga wajar melanjutkan lagi tempoh bantuan pembayaran balik pinjaman untuk jangka masa yang lebih signifikan atau sehingga orang ramai kembali dibenarkan melancong.

Jangan terlalu berkira tentang bantuan ini kerana mereka juga penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sebelum dan selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *