Adam Rosly gagal ketepi sabitan, hukuman penjara dan denda


Datuk Adam Rosly Abdullah

02/03/2021 05:13 PM

PUTRAJAYA, 2 Mac — Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara enam bulan dan serta denda RM30,000 yang dijatuhkan ke atas bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang Datuk Adam Rosly Abdullah kerana memberikan pernyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Adam Rosly semalam.



Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 26 April 2018 yang menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati beliau bersalah atas enam pertuduhan memberikan pernyataan dan dokumen palsu kepada SPRM semasa siasatan pada 2017 berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.

Yaacob, yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, berkata sabitan ke atas Adam Rosly adalah selamat serta disokong oleh bukti yang kukuh.

Beliau turut mengeluarkan waran komital terhadap Adam Rosly, 33, bagi membolehkan hukuman penjara terhadapnya berkuat kuasa mulai semalam.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.



Pernyataan palsu itu adalah berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang RM200,000 daripada ibu mentua dan arwah neneknya serta pinjaman wang RM500,000 daripada along.

Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, lelaki itu dituduh menggunakan suatu dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 89 akta yang sama.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 9 pagi dan 12.15 tengah hari 10 Feb 2017, dan antara 9 pagi dan 2 petang 22 Feb tahun sama.

Kesemua pertuduhan memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 26 Nov 2019, beliau gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Semalam, Mahkamah Rayuan menyambung prosiding rayuan itu dengan mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke yang menyebut bahawa kesalahan Adam Rosly adalah serius.

Beliau berkata kesalahan yang dilakukan itu bukan isu remeh dan tidak mewajarkan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik atau sekadar denda dikenakan ke atas Adam Rosly.

Pada 9 Dis tahun lepas, mahkamah telah mendengar hujah peguam Muhammad Fadhli Mat Sutris yang mewakili Adam Rosly.

Beliau berhujah bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa pernyataan yang diberikan anak guamnya adalah palsu.

Kemuka pernyataan palsu, tiga bekas pegawai syarikat pelaburan lepas bebas

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker