Pembantu rumah warga Myanmar turut didera anak majikannya

02/03/2021 03:45 PM

BUKIT MERTAJAM, 2 Mac — Polis menahan satu pasangan suami isteri, Ahad, yang disyaki mendera seorang pembantu rumah warga Myanmar berumur sekitar 30-an yang diselamatkan polis di Jalan Perpaduan, Kampung Baru di sini minggu lepas.

Khamis lepas media melaporkan majikan pembantu rumah itu ditahan kerana disyaki mendera, dan hari ini Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad ketika dihubungi berkata pada hari Ahad pula, polis menahan anak perempuan majikan berkenaan, yang berumur 35 tahun bersama suaminya, 36, disyaki turut terlibat dengan perbuatan itu.

Beliau berkata pasangan itu ditahan di rumah mereka di Taman Seri Bukit Indah, bagi membantu siasatan itu, dan difahamkan wanita itu mengambil pembantu rumah berkenaan menerusi ejen agensi pekerjaan untuk bekerja di rumah ibu bapanya.



 

“Namun pembantu rumah itu turut diarah untuk bekerja di kediaman wanita berkenaan dan berdasarkan keterangan daripada pembantu rumah itu, dia turut didera dan disimbah air panas serta dipukul oleh wanita itu. Kesan lebam di seluruh badan pembantu rumah itu adalah akibat dipukul,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya siasatan juga mendapati wanita yang bekerja sebagai pengarah sebuah syarikat swasta itu tidak membayar gaji warga Myanmar berkenaan semenjak dia mula bekerja sekitar dua tahun lepas, dengan alasan wang berkenaan disimpan untuk dibayar ketika mahu pulang ke Myanmar.

Shafee berkata pembantu rumah berusia 30-an itu telah selesai menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dihantar ke rumah perlindungan di sini.

“Majikan warga Myanmar itu, yakni pasangan suami isteri yang berusia 50-an dan 60-an yang ditahan pada 24 Feb lepas masih direman, manakala anak perempuan mereka serta suaminya yang merupakan pengurus sebuah syarikat swasta turut direman selama enam hari bagi membantu siasatan,” katanya.



Katanya polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan 44 Atipsom 2007.

Dalam kejadian minggu lepas, polis telah ke rumah berkenaan sebelum menyelamatkan pembantu rumah yang ketika itu berada di sebuah bilik dalam keadaan lemah dan pemeriksaan awal terhadap fizikal wanita itu mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan dan kesan calar di badan serta kakinya.

Dua beranak ditahan kerana dera pembantu rumah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker