“TAWARAN GURU BAHASA INGGERIS… KALAU MEREKA SUDI, SAYA SEDIA TIIMBANGKANNYA” – ADIBAH NOOR

Image_1.jpg

“Sebenarnya, saya tidak serius. Seperti biasa, ciapan saya diperdebatkan. Sampai ada yang cakap, hendak mengajar ikutlah saluran betul. Ada juga dengan sinis menyebut, fikir berstatus selebriti, senang-senang pihak berkenaan boleh jemput. Sebagai contoh, kalau kita naik kapal terbang dan beli tiket pergi balik. Selalunya, tiket pulang kita tidak letakkan tarikh tertentu.

“Jadi, ikut rasa hati bila hendak balik. Begitulah juga dengan tawaran terbuka saya untuk menjadi guru Bahasa Inggeris bagi DidikTV. Kalau mereka sudi, saya sedia menimbangkannya. Cuma setakat ini, belum ada apa-apa. Kalau ada, saya beritahu,” ujar penyanyi, pelakon dan pengacara, Adibah Noor, 51, yang juga graduan dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Adibah berkata demikian ketika ditanya mengenai tawaran dirinya untuk mengajar subjek bahasa Inggeris di saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), baru-baru ini seperti ciapan Twitter. Adibah berkata, dia menawarkan diri secara terbuka.



Sebelum ini, Adibah membetulkan sebutan istilah Bahasa Inggeris dituturkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, dalam rakaman video yang mnjadi tular, baru-baru ini. Bagaimanapun, tindakan Adibah menegur secara terbuka telah mengundang kecaman netizen hingga ada yang menuduh Adibah cuba mengaibkan anggota Kabinet itu.

Namun, di sebalik kecaman, ada juga yang memuji Adibah kerana berani memperbetulkan perkara salah. Adibah atau nama penuhnya, Adibah Noor Mohamed Omar, bagaimanapun pelik kerana individu ditegur menyambut baik, sebaliknya, pihak lain yang melatah dan tersinggung.

“Dalam hal ini, bergantung kepada diri sendiri dan cara penerimaan terhadap teguran dibuat. Ada orang yang saya tegur, walaupun terpampang jelas nama dan siapa dirinya, menerima teguran itu. Kali ini, teguran saya kepada individu dikenali ini, ada yang kata mengaibkan. Namun, saya pernah menegur seorang pembaca berita mengenai sebutan istilah Bahasa Inggeris digunakan.



“Dia secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada saya. Dia hargai teguran dan pembetulan yang dikongsi. Dia juga sedia memperbaiki kelemahan yang ada. Dalam hal ini, dia memilih untuk menerima teguran. Namun, tidak semua orang boleh menerima teguran.

“Seperti dalam situasi Rina, beliau tidak memberi apa-apa kenyataan. Orang lain pula yang terasa hati bagi pihaknya. Pokok pangkalnya, dalam situasi begini, kita boleh memilih sama ada hendak menjadi orang menerima teguran atau mereka yang tersinggung dengan teguran yang dibuat kepada orang lain,” katanya.

Penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu yang pernah bertugas sebagai guru itu berkata, kebolehan menguasai bahasa lain bukan bererti mahu melupakan bahasa ibunda. Adibah berpesan, kesanggupan untuk menimba ilmu memberi semangat positif kepada mereka yang mahu menguasai bahasa lain.



“Ya, kita patut berbangga dengan keunikan bahasa ibunda. Secara jujur, saya sarankan penguasaan bahasa lain selain bahasa ibunda. Terus pelbagaikan kebolehan bercakap dalam banyak bahasa. Kalau selesa dengan bahasa tertentu, teruskan sahaja. Sekalipun perlu berucap di platform antarabangsa.

“Macam pemimpin antarabangsa pun ada yang memilih bertutur dalam bahasa ibunda. Lagipun, melalui platfrom begitu, disediakan terjemahan bahasa dan sari kata. Kalau konteks kita sendiri, andai sudah selesa dengan bahasa ibunda, terus agungkannya. Tetapi, jangan berhenti menimba ilmu termasuk belajar lebih daripada satu bahasa.

“Biarkanlah mereka belajar apa sahaja bahasa sekalipun. Jangan terus pantas ‘cop’ mereka ini berlagak… Jangan ketawakan mereka. Kalau ada yang boleh bercakap Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Jerman dan Perancis, kenapa hendak dengki. Selalunya yang bersikap negatif ini mereka tidak ada kelebihan tertentu. Orang jenis ini suka melabel macam-macam kerana tidak boleh tengok orang lebih,” tuturnya.



Adibah yang pernah membintangi filem ‘Mukhsin’ dan Sepet mengaku hampir setiap hari menerima mesej di media sosial yang mahu beliau mengajar Bahasa Inggeris. Malah, katanya, ada pihak sanggup sediakan platform untuknya mengajar bahasa berkenaan.

“Ada yang meminta saya mengajar Bahasa Inggeris dalam talian dan secara bersemuka. Jika diikutkan, selama ini, saya sudah terarah ke arah itu. Cuma saya belum mampu mengendalikannya seorang diri. Saya tidak ada pasukan kerja yang boleh membantu menyempurnakan tugasan itu termasuk dalam menyediakan grafik dan sebagainya. Kalau hendak buat seorang diri daripada menulis skrip hingga kepada rakaman, saya tidak mampu. Jika ada pasukan, saya tidak keberatan melakukannya,” jelasnya.

BILA ADIBAH NOOR TAWAR DIRI MENGAJAR DI DIDIKTV, BAHASA INGGERIS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button