Insiden rempuh polis di Sierramas: Dua lelaki didakwa

Dua lelaki menaiki Proton Waja yang videonya tular dalam insiden merempuh beberapa buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Sierramas, Sungai Buloh minggu lalu didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

05/03/2021 04:44 PM

PETALING JAYA, 5 Mac — Dua lelaki menaiki Proton Waja yang video mereka tular di media sosial dalam kejadian merempuh beberapa buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Sierramas, Sungai Buloh minggu lalu, masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mustaza Mustaffa, 35, yang berdepan lapan pertuduhan termasuk cuba membunuh dua anggota polis manakala rakannya, Khairul Fazily Fadzil, 40, yang didakwa atas dua pertuduhan antaranya menghalang tugas polis, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin dan Majistret Nurshahira Abd Salim.



Di Mahkamah Sesyen, Mustaza didakwa cuba membunuh dua anggota polis iaitu Koperal M. Amareisan dan Koperal Mohd Edham Zakaria dengan mengundurkan kereta secara laju dan cuba melanggar dua anggota polis itu di persimpangan lampu isyarat susur kiri, Jalan Kuala Selangor menghala ke Kepong, Damansara, di sini, pada 12.30 tengah hari, 26 Feb lalu, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mustaza turut dituduh atas satu pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah kapak berhulu kayu pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Rakannya, Khairul Fazily turut didakwa atas pertuduhan berada bersama-sama Mustaza yang memiliki senjata berbahaya yang sama iaitu sebilah kapak pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 5 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret, Mustaza dan Khairul Fazily, yang kedua-duanya penganggur, didakwa bersama-sama atas pertuduhan menghalang dua anggota polis sama daripada menjalankan tugas mereka pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Mustaza juga dituduh atas empat pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan empat kenderaan termasuk sebuah Toyota Vellfire dan sebuah lori dan satu lagi pertuduhan iaitu gagal mengemukakan kad pengenalan pada tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan khianat, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya dan gagal mengemukakan kad pengenalan dia dituduh mengikut Peraturan 7(1A) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(a) yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam dan ‘Atifah Hazimah Wahab manakala Mustaza diwakili peguam Datuk Suraj Singh dan Datin Raj Preet Kaur. Bagaimanapun, Khairul Fazily tidak diwakili peguam.

Mustaza dibenarkan diikat jamin RM43,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Khairul Fazily tidak diberikan jaminan berikutan ketiadaan penjamin dan 19 April ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Feb lalu, tular dalam media sosial aksi polis melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah kereta Proton Waja selepas dua suspek enggan menyerah diri apabila disuruh memberhentikan kenderaan untuk diperiksa.

Kerajaan Kuat Kuasa Skim Harga Maksimum PKP Bermula Esok – Ismail Sabri

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker