Hobi ubah suai motor bawa padah

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya (kanan) melihat anggotanya mengeluarkan saman terhadap salah seorang pemilik motor yang diubah suai yang di bawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, selepas sidang akhbar, di sini, hari ini. Sebanyak 912 buah motosikal yang ditahan dan diperiksa dalam 22 operasi dijalankan sepanjang Op Ekzos yang diadakan sejak 1 Mac lalu. –fotoBERNAMA (2021) HAKCIPTA TERPELIHARA

05/03/2021 11:44 PM

MELAKA, 5 Mac — Hobi mengubah suai motosikal sehingga mencecah RM20,500 membawa padah, apabila motosikal milik seorang mekanik ‘diangkut’ ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini berikutan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.



Lelaki berumur 24 tahun dikenali Dani itu antara individu yang ditahan kira-kira pukul 11 pagi, di tepi jalan di Ayer Molek dalam Op Ekzos oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, selepas motosikal Yamaha 15ZR (Ysuku) miliknya, didapati diubah suai sehingga mengeluarkan api dan bunyi kuda.

Dani yang ditemui pemberita ketika ditahan berkata, dia mengambil masa tiga bulan mengubah suai motorsikal itu dengan menggunakan pengalaman, serta menjadikan ‘Youtube’ sebagai rujukan untuk menambah prestasi bahan bakar, enjin, mod bunyi motosikal dan kelajuan.

“Saya juga membangunkan perisian dan aplikasi sendiri untuk menambah kelajuan serta mod bunyi, malah menjual perisian tersebut sebanyak 20 salinan, dengan setiap satu bernilai RM650 kepada mereka yang mempunyai hobi sama.

“Sebenarnya tidak ada apa-apa keistimewaan cuma rasa satu kepuasan apabila dapat melihat motosikal yang diubah suai mengeluarkan api dan pelbagai bunyi kuat,” katanya yang turut berdepan tindakan sembilan saman berjumlah RM2,700.



Sementara itu, Ketua JSPT negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, motosikal lelaki itu antara 912 buah motosikal yang ditahan dan diperiksa sepanjang Op Ekzos yang diadakan sejak 1 Mac lalu.

“Setakat empat hari, pihak polis juga telah menjalankan 22 operasi, dengan 825 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Pol 257 dan 24 motosikal turut disita.

“Pihak kita juga tidak akan berkompromi dengan kesalahan membabitkan pengubahsuaian ekzos ini, malah akan mengambil tindakan tegas kerana aktiviti seperti ini membahayakan pengguna jalan raya lain, selain mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Tambahnya, Op Ekzos akan diteruskan sehingga 14 Mac ini dengan enam lokasi ‘panas’ sekitar negeri ini turut dikenal pasti.



RUMAH BARU, MOTOR BARU UNTUK MOHD. YAZID

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button