PDRM, SPRM nafi dakwaan dijadikan ‘senjata politik’


Tan Sri Abdul Hamid Bador

06/03/2021 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa pasukan keselamatan itu dijadikan ‘senjata politik’ bagi menjalankan siasatan dengan objektif mengambil tindakan terhadap pemimpin politik pembangkang.

“Saya menegaskan bahawa PDRM tidak pernah tertekan untuk berbuat demikian dan tidak akan membenarkan pasukan ini diperalatkan bagi tujuan menyekat prinsip demokrasi,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata tindakan polis memanggil pemimpin tertentu adalah untuk merakam kenyataan berhubung video tular yang membabitkan mereka.

Abdul Hamid berkata proses siasatan adalah telus oleh pegawai penyiasat yang melaksanakan tugas dengan professional dan bertanggungjawab.

“Sesiapa pun tidak perlu bimbang dengan dakwaan kononnya PDRM akan mula meningkatkan tekanan demi membantu kepentingan politik kerajaan. Dakwaan sesetengah pihak bahawa kami bertindak berat sebelah adalah tidak wajar sekali.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengutamakan perkara mengenai usaha memerangi COVID-19 dan elakkan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran orang ramai,” katanya kepada Bernama.

Turut senada, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengeluarkan kenyataan hari ini menegaskan dakwaan gabungan beberapa parti politik kononnya agensi itu dijadikan ‘senjata politik’ dalam melaksanakan tindakannya adalah tidak berasas.

Menurut kenyataan itu, SPRM sebagai agensi penyiasatan yang bebas, sentiasa memastikan tindakannya adalah berlandaskan undang-undang tanpa membabitkan kecenderungan politik.

“Tohmahan itu dianggap sebagai tidak berasas serta tidak bertanggungjawab kerana perkara itu boleh menjejaskan imej SPRM sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap SPRM,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan mengecam penyalahgunaan agensi dan institusi kerajaan sebagai senjata politik bagi mendapatkan sokongan Ahli Parlimen pembangkang terhadap kerajaan hari ini.

Kenyataan itu turut mendakwa terdapat siri tindakan daripada pelbagai agensi termasuk SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan PDRM yang memberi tekanan terhadap Ahli Parlimen pembangkang, pegawai-pegawai malah ahli keluarga mereka.

Annuar Musa sudah tidak boleh dijadikan kawan lagi, kaki dedah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker