Tetap Setia Bersama Barisan Nasional

MCA Kekal Setia Bersama Barisan Nasional

Sambutan Hari Ulang Tahun MCA ke 72 dan Perhimpunan Agung Tahunan MCA yang ke 67 berlangsung dengan jayanya hari ini.

Setinggi penghargaan saya ucapkan kepada pemimpin-pemimpin tertinggi parti, pemimpin-pemimpin veteran, sayap-sayap parti, pertubuhan-pertubuhan Cina, para perwakilan dan ahli-ahli parti yang bersama-sama dalam Perhimpunan Agung MCA yang diadakan secara norma baharu, iaitu dalam talian.

Ucapan Dasar Presiden MCA

Dalam Ucapan Dasar, saya ada menyebut, walaupun MCA kini menjadi sebahagian daripada kerajaan pemerintah, namun situasinya berbeza berbanding masa lalu, pada ketika Barisan Nasional memerintah.



Gabungan politik dalam kerajaan hari ini bukan lagi dikuasai BN dan BN tidak bersendirian dalam mentadbir negara.

Walaupun situasi politik kini tidak menentu, namun MCA tetap dengan ideologi parti demi memastikan hak-hak minoriti kekal terpelihara dan memperjuangkan nasib semua rakyat di Malaysia tidak kira sama ada bergelar kerajaan mahupun pembangkang.

Dalam sebuah negara yang didiami masyarakat majmuk, kita memerlukan sokongan daripada semua, bukan hanya satu kumpulan atau etnik sahaja.

Sekiranya dikuasai oleh satu kelompok sahaja, sudah tentulah ia akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam politik.



Walaupun berpeluang menjadi kerajaan, namun pemerintah sukar untuk menjalankan fungsi dan tugasnya dengan baik, tercetusnya suasana yang tidak harmoni antara kaum seterusnya meranapkan perpaduan negara yang sukar dipulihkan.

Semangat Pengasas MCA

Oleh itu, MCA terus meniupkan semangat perjuangan yang diterapkan oleh pengasas parti, Tun Tan Cheng Lock yang menegaskan bahawa MCA perlu memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia walaupun parti ini berasaskan kaum Cina.

Lantaran itu, sehingga kini MCA terus memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira agama, kaum dan latarbelakang.

Selain itu, saya juga menyentuh tentang krisis kesihatan yang melanda negara. Melihat kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang berjalan dan penurunan kes jangkitan, maka kini kita sedang melalui fasa pemulihan.

Tiga Misi

Oleh yang demikian, MCA akan memberikan penekanan kepada tiga misi utama iaitu :

– Mendorong pemulihan ekonomi.
– Mengukuhkan kestabilan politik.
– Mempromosikan keharmonian antara kaum.

Apa yang paling penting, pihak kerajaan dan pembangkang haruslah mengenepikan perbezaan politik masing-masing.

Menjaga nyawa dan keselamatan rakyat adalah keutamaan di samping menjamin kehidupan sejahtera menerusi pengukuhan ekonomi.

Ini akan membantu kita mengharungi pasca COVID-19 seterusnya menuju masa depan yang lebih baik.

Ketua Pemuda MCA Zahirkan Kebimbangan

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker