Siapa Paling Layak Terajui PPBM Selepas Era Muhyiddin?

PPBM Selepas Era Tan Sri Muhyiddin, Siapa Paling Layak?

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya mempunyai 13 kerusi (asal) Parlimen pada PRU14 bersama Pakatan Harapan. Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden PPBM tidak menjadi Perdana Menteri sebaliknya memberi laluan kepada Tun Mahathir.

Majlis Presiden Pakatan Harapan memilih Mahathir untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Ke-7 dan kali kedua selepas menjawat jawatan sama selama 22 tahun (1980 – 2003).



Sejarah Singkat

Krisis dalaman Pakatan Harapan menyaksikan Mahathir menjadi PM paling singkat dalam sejarah politik Malaysia. Hanya bertahan 22 bulan apabila meletakkan jawatan.

Muhyiddin memilih untuk membelakangkan Mahathir bila menarik sokongan terhadap Pakatan Harapan selepas Azmin Ali menggerakkan ‘Langkah Sheraton’. Krisis dalaman PKR turut menjadi faktor 11 Ahli Parlimen PKR keluar parti diketuai Azmin Ali.

Sejarah politik tidak boleh diubah dan bermulalah era Perikatan Nasional selepas tumbangnya Pakatan Harapan. Muhyiddin Yassin kemudiannya diangkat menjadi Perdana Menteri Ke-8 dengan sokongan Barisan Nasional, Pas, GRS & GPS serta serpihan PKR.



Menyedari kedudukan sebagai Presiden PPBM tidak meyakinkan, berlaku beberapa siri pemecatan dalam parti dimulakan dengan Setiausaha Agung diikuti lain-lain yang dijangka menentang Muhyiddin.

Pesaing Jawatan Parti Diketepikan

Pemilihan 2 jawatan tertinggi parti yang sudah tiada saingan selepas menyingkirkan calon berpotensi memudahkan Muhyiddin menstruktur semula PPBM.

Memilih Dato Seri Ahmad Faizal Azumu atau dikenali sebagai Peja menjadi Timbalan Presiden dilihat hanya untuk mencukupi syarat. Tidak lebih dan tidak kurang dari memegang jawatan tanpa sokongan kuat akar umbi PPBM.



Membaca permainan meletakkan Peja sebagai Timbalan dikatakan bersifat sementara dan hanya untuk menjaga hati sedang semua maklum beliau merupakan antara kekuatan Mukhriz Mahathir dan pendukung Mahathir itu sendiri.

Dilemma Akar Umbi PPBM

Memilih kekal dalam PPBM selepas Tun dikeluarkan dari PPBM menyaksikan kewujudan PPBM pro Muhyiddin dan PPBM pro Mahathir. Dilemma akar umbi PPBM yang masih mahu Mahathir bersama parti sememangnya kuat.

Bagaimanapun sudah namanya politik, keluarnya Mahathir tidak mengurangkan sedikitpun aspirasi beliau dalam PPBM, malah ada kedengaran mereka masih menaruh harapan agar Mahathir kembali kepada PPBM bersama-sama Mukhriz.



Ini adalah untuk memperkuatkan kembali sokongan akar umbi kepada parti kerana menyedari PPBM hanya menyandarkan kekuatan parti pada Muhyiddin.

‘Pelompat Parti’

Walau dibantu Hamzah Zainuddin, akar umbi tidak meletakkan kepercayaan mereka 100% memandangkan beliau merupakan ahli parlimen yang menang atas tiket BN pada PRU14 sebelum memilih menyertai PPBM.

Kemasukan Azmin Ali dan rombongan PKR juga tidak memberangsangkan kerana selama lebih 2 dekad bersama Anwar Ibrahim tidak mampu menghalang pengkhianatan terhadap perjuangan PKR.



Lebih memburukkan keadaan, mereka yang bukan bermula dalam PPBM kini mendapat kelebihan jawatan utama dalam parti berbanding mereka yang bermandi peluh dan berkorban seawal penubuhan parti itu.

Bagaimana mereka mahu menyekat penguasaan ‘penumpang parti’ dari menguasai parti jika hanya berharap pada Peja sebagai Timbalan Presiden? Pengalaman ‘seni politik’ yang tidak mampu bertahan di Perak menjadi kayu pengukur kebolehan Peja mengharungi ‘penjarahan’ dalam PPBM.

Sokongan Kepada Peja Kuat?

Tumbang dalam undi percaya di Dewan Undangan Negeri Perak merupakan tamparan kepada PPBM. Kehilangan jawatan nombor 1 di Perak adalah kegagalan politik yang sukar diterima akar umbi.



Tekanan pasti akan dirasai akar umbi PPBM dan sudah pasti mereka mahukan seorang pengganti yang lebih berkaliber dan mampu menguasai sepenuhnya parti.

Siapa yang mampu menggantikan Muhyiddin selepas tidak lagi menjadi Presiden PPBM? Apakah Mukhriz akan dipelawa kembali ke parti bagi menyelamatkan PPBM daripada keruntuhan?

Mahathir Kembali Ke PPBM?

Mungkinkah Tun M akan diletakkan semula sebagai Penasihat PPBM bagi mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada parti?

Bagaimana pula dengan Azmin Ali, Hamzah, Tok Pa, Mas Ermiyati serta lain-lain yang kini lebih kehadapan dalam politik tanahair? Mereka kini dilihat lebih ‘advance’ bermain politik serta imej baik kepada rakyat. Ini kelebihan mereka berbanding Peja yang semakin tenggelam dari mata ahli PPBM.

Kurang promosi serta liputan merupakan berita yang kurang baik kepada mana-mana ahli politik. Peja turut terkesan selepas tidak lagi bergelar Menteri Besar Perak dan hanya dikenali sebagai Timbalan Presiden PPBM namun dibayangi kehebatan ‘pelompat’ parti.

Jangan terkejut jika ada pemilihan parti selepas ini, jawatan besar dalam PPBM akan dikuasai wajah-wajah yang tidak dikenali akar umbi. Tidak mustahil berlaku malah sekarang pun sudah nampak ia dimulakan.

AHLI UMNO TOLAK PPBM – TIMBALAN PRESIDEN UMNO

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button