Bapa berulang-alik lebih 10 tahun lawat anak dipenjara di Singapura

Kuala Lumpur: Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa, itulah ungkapan tepat dapat menggambarkan pengorbanan Cheong Kah Pin apabila sanggup berulang-alik dari Johor ke Singapura dua kali sebulan bagi melawat anaknya di penjara sejak 10 tahun lalu.

Lelaki warga emas yang berusia 67 tahun itu berkata, beliau akan keluar dari rumahnya pada jam 2 pagi bagi mengelakkan banyak kenderaan dan risiko melanggar kenderaan lain atau sebaliknya berlaku ke atas dirinya.

“Saya keluar dari rumah jam 2 pagi dan membawa motosikal dengan perlahan-lahan sebelum tiba di stesen minyak berhadapan dengan penjara ini kira-kira satu jam kemudian. Saya akan tunggu di sini sehingga jam 8 pagi sebelum pelawat dibenarkan masuk untuk melawat banduan.



“Saya sanggup tunggu di luar ini berjam-jam serta pernah juga jatuh daripada motosikal ketika dalam perjalanan ke penjara, tetapi saya sanggup lalui semua itu asalkan dapat bertemu dengan anak lelaki saya.

“Anak saya juga pernah meminta supaya saya tidak melawatnya lagi, tetapi saya kata tidak mengapa sebab saya tetap mahu melihat wajahnya” katanya dalam video yang dipetik di 8World News.

Bercerita lanjut mengenai anaknya, Kah Pin berkata, anak sulungnya yang dikenali sebagai Cheong Chun Yin itu dijatuhi hukuman penjara kerana didakwa menyeludup heroin ke Singapura.

“Anak saya diarahkan oleh majikannya untuk membawa jongkong emas masuk ke Singapura. Disebabkan terlampau percaya dengan pihak sana, anak saya tidak mengesyaki apa-apa mahupun memeriksa paket yang dibawanya.



“Ketika ditahan, anak saya memang tidak mengetahui yang dibawanya adalah dadah. Saya tidak percaya dia menyeludup dadah dan sangat sedih apabila dia dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Kah Pin berkata, dia sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu dan disebabkan tidak mempunyai wang yang mencukupi, beliau terpaksa menjual tiga rumah miliknya bagi menampung pembayaran melantik peguam.

Ketika ditahan, Chun Yin yang berusia 24 tahun itu disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati, bagaimanapun ia dikurangkan kepada hukuman penjara seumur hidup dengan 15 kali sebatan.

Malah Kah Pin juga berharap pada tahun depan ada sinar mengenai kes anaknya, kerana ketika itu hukumannya akan disemak untuk pengampunan oleh Kementerian Dalam Negeri Singapura serta sudah selesai menjalani hukuman penjara selama 20 tahun.



METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading