Saifuddin Dakwa Xavier Mangsa Ugutan Politik

Saifuddin Nasution Dakwa Xavier Mangsa Ugutan Politik

Saifuddin Nasution

KENYATAAN MEDIA

13 Mac 2021

Keputusan Xavier Jayakumar Keluar PKR

1. Keputusan yang diumum YB Datuk Dr Xavier Jayakumar pagi ini terjadi dengan latarbelakang kenyataan saya beberapa minggu lepas bahawa ujudnya usaha tersusun oleh kerajaan minoriti untuk menarik sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang dengan cara umpan dan ugutan menggunakan PDRM, LHDN dan SPRM.

2. Dr Xavier baru-baru ini telah bertemu pimpinan KEADILAN memaklumkan bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan setelah SPRM sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan.

Dihubungi Menteri Kanan

3. Dr Xavier kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong Perikatan Nasional atau hadapi akibat yang serius.

4. KEADILAN sebuah parti reform – pendirian kami amat jelas dalam menentang rasuah, salahguna kuasa dan pelanggaran undang-undang tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Instrumen Digunakan

5. Walau bagaimanapun, hal yang berlaku sekarang adalah, instrumen pemerintah termasuk SPRM sedang diperguna ahli politik kanan dalam pentadbiran Perikatan Nasional untuk mengalih sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang kepada Perikatan Nasional.

Ini adalah satu bentuk salahguna kuasa, terutama tatkala kita sedar isu rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan pihak Perikatan Nasional seperti tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib.

6. Amatlah jelas kerajaan minoriti hari ini berlapik dengan alasan darurat dan menggantung Parlimen sambil pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan lebih ramai Ahli Parlimen dengan cara menggunakan agensi-agensi tertentu melalui taktik umpan habuan, tekanan dan ugutan.

7. Sebagai seorang yang lama mengenali Dr Xavier Jeyakumar – Tindakan dan alasan-alasan beliau dalam kenyataan hari ini menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Namun yang membezakan reformis tulin dengan yang lain ialah tahan diuji pada masa senang dan sukar.

8. Saya ulangi gesaan agar semua Ahli Parlimen KEADILAN untuk kekal teguh dan Istiqamah berpegang kepada prinsip dan landasan perjuangan reformasi tanpa tunduk dengan umpan habuan dan ugutan.

9. KEADILAN dan Pakatan Harapan akan kekal dengan halatuju sekarang yakni terus mempertingkat persiapan menuju PRU15 dan pada masa yang sama berusaha mengembalikan mandat rakyat sesuai kerangka undang-undang dan perlembagaan.

Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung KEADILAN

Leave a Reply